KANGAR: Sebuah dokumentari khas bagi memperkenal keunikan biodiversiti alam semula jadi di Wang Kelian yang menyimpan pelbagai khazanah berharga sejak beratus juta tahun lalu sedia untuk ditayangkan kepada umum.
Penerbitan dokumentari bertajuk ‘Wang Kelian: Lembah Yang Kian Hilang’ berdurasi selama 30 minit itu hasil usaha Roots & Shoots dan Perlis Nature and Wildlife (PNW) dengan sokongan geran daripada Think City di bawah Program Pemangkin Ekonomi Budaya.
Ketua projek berkenaan, Peter Ong berkata, selain dokumentari, projek itu turut menerbitkan sebuah buku bagi menceritakan tentang kekayaan biodiversiti dan geodiversiti yang menjadi nadi kepada kehidupan masyarakat di kawasan itu sejak sekian lama.
“Bagi menyiapkan dokumentari ini, kami mengambil masa selama satu bulan manakala penghasilan buku berkenaan pula memakan masa selama dua bulan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Wang Kelian Perlis: Lembah Yang Kian Hilang di Hotel Brasmana di sini, semalam.
Sementara itu, pengasas PNW, Syamil Abd. Rahman berkata, Wang Kelian yang terletak di Banjawan Nakawan berusia 500 juta tahun itu sememangnya mempunyai pelbagai spesies serta sukar ditemukan di lokasi lain dalam negara ini.
Katanya, menerusi penghasilan dokumentari dan buku tersebut, ia diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang perspektif keunikan yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Penghasilan dua produk ini juga diharap dapat menarik perhatian dunia tentang keistimewaan di Wang Kelian yang mempunyai kekuatan tersendiri dari aspek geopelancong, ekopelancongan dan arkeologi.
“Banyak spesies unik dapat ditemui dengan antaranya seperti beruk kentoi yang hanya ada di Wang Kelian,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed pula berkata, projek berkenaan memberi penumpuan bagi mengetengahkan khazanah negara di Wang Kelian dengan kerjasama daripada penduduk setempat di kawasan itu. – UTUSAN










