Data 223 juta rakyat di tangan penggodam

223 juta data rakyat di tangan penggodam

SCAMMER sasar golongan berpendapatan tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 223 juta data peribadi rakyat Malaysia berisiko jadi mangsa penipuan dengan adanya sistem pangkalan data yang ‘dikawal’ dan ‘dibangunkan’ oleh penggodam untuk ‘dilelong’ kepada sindiket.

Ia dipercayai dibangunkan oleh penggodam terdiri daripada pakar-pakar teknologi informasi (IT) berpangkalan di negara ini yang ingin mengaut keuntungan dengan mudah tanpa sebarang jejak.

Dengan hanya mendaftar ke dalam sistem berkenaan, pelayar boleh mencari apa sahaja maklumat seperti kad pengenalan, alamat, nombor pendaftaran kereta mahupun pakej data termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seseorang individu dan syarikat terbabit

Kumpulan ini akan menawarkan servis pencarian data rakyat negara ini kebiasaannya kepada sindiket penipuan dan ada juga kepada pemaju perumahan, ejen pemasaran, pengumpul hutang, agen insurans dan ah long untuk melakukan pelbagai jenis penipuan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Inovasi Digital, Mohd. Fazli Azran berkata, risikan Yayasan Digital Malaysia (YDM) mendapati terdapat kira-kira dua atau tiga sistem yang dibangunkan penggodam ini yang menawarkan servis pencarian data peribadi rakyat malaysia ini.

Kata beliau, data yang diperolehi daripada sistem berkenaan kemudian akan dijual di empat sehingga lima platform secara pukal menerusi laman web gelap atau dark web.

Jelasnya, di dalam sistem ini, terdapat nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon baru dan lama seseorang itu meskipun maklumatnya telah bertukar dan dikemas kini.

“Lebih menakutkan, sistem ini bukan sahaja mengandungi data peribadi orang awam malah ada juga maklumat yang dijual milik individu berkepentingan (VIP),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Mohd. Fazli, bagi satu paparan maklumat, akan dikenakan caj RM0.50-RM1.50 terhadap pelayar dan perlu membuat bayaran melalui matawang krypto sahaja untuk membeli setiap pakej.

“Perkara ini terjadi mungkin disebabkan negara kita tiada cukup kepakaran di setiap agensi terbabit dan banyak sistem yang ketinggalan zaman serta kemahiran yang terhad serta tiada naik taraf dari segi pengalaman serta kemahiran tertentu membuatkan kita ketinggalan zaman berbanding penggodam dan serta sindiket scammer ini,” jelasnya.

Mohd. Fazli berkata, semakin hari penggodam dan sindiket dilihat bijak menaik taraf kemahiran serta pengetahuan mereka bagi mengelak dikesan dan dihidu oleh agensi penguatkuasa dan terus menerus menggodam untuk mencari data terbaru tanpa disedari oleh semua organisasi terbabit.

“Tidak dinafikan, negara kita ada undang-undang Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 yang sudah ketinggalan zaman yang perlu senantiasa dikemas kini mengikut arus teknologi yang semakin maju dan juga termasuk akta akta yang lain.

“Banyak juga kes melibatkan jenayah siber tidak dapat disabitkan kesalahan kerana kekurangan bukti dan bilamana ada tangkapan susah untuk diambil tindakan kerana tidak cukup pembuktian dari segi bukti digital serta bukti forensik berbanding bukti fizikal.

“Ini juga amat meresahkan kerana dengan kelemahan yang disedari oleh sindiket scammer ini makin hari makin menjadi jadi disebabkan mereka tahu “Loophole” undang undang malaysia tidak dapat menyabitkan kesalahan mereka secara teknikalnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Mohd. Fazli, kebocoran data meletakkan kita dalam risiko secara peribadi, profesional, mental dan juga kewangan.

Ujar beliau, dalam jenayah siber apa yang dilakukan oleh sindiket penipuan adalah dengan melancarkan serangan psikologi terhadap mangsa-mangsa mereka sampai terpaksa mengikut kemahuan penjenayah disebabkan perasaan takut atau panik.

“Ada juga disebabkan perasaan tamak yang menguasai diri serta cuai dalam menjaga aplikasi sistem dan peralatan komunikasi diri sendiri.

“Penjenayah-penjenayah ini berjaya mengeksploitasi kelemahan individu yang ingin dijadikan mangsa mereka dalam melakukan jenayah siber ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Fazli berpendapat, rakyat Malaysia kini sudah celik teknologi maklumat (IT) tetapi tahap kesedaran awal dalam keselamatan siber masih rendah.

Ujar beliau, isu terbesar adakah rakyat Malaysia sudah bersedia dengan serangan siber yang akan berlaku kepada mereka.

“Adakah mereka sudah mempersiapkan diri dalam alam siber ini. Adakah mereka tahu apa yang perlu dibuat apa yang tidak perlu dibuat. Adakah mereka tahu apa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dibuat jika berlaku ancaman siber,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, penjenayah siber kini menumpukan kepada ancaman yang bermotifkan impak yang lebih besar iaitu bermotifkan kewangan seperti peras ugut sebagai perkhidmatan (extortion as a service) bagi mengaut keuntungan secara mudah.

Senario ini dibuktikan apabila sebanyak 73,560 kes jenayah siber dengan kerugian keseluruhan RM3.07 bilion direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga 30 April lalu.

Daripada jumlah itu sebanyak 72,732 kes adalah membabitkan pelbagai kesalahan jenayah siber dengan merekodkan kerugian terbesar iaitu RM2,955,035,945 billion dalam tempoh sama.

Mendedahkan perkara kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi jenayah penggodaman sebanyak 752 kes direkodkan melibatkan RM121.74 juta sepanjang tempoh sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×