DAP yakin ahli undi calon BN di Kedah

DAP yakin ahli undi calon BN di Kedah

DAP Kedah yakin ahli dan penyokongnya dapat menerima calon daripada UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang selepas pemimpin kedua-dua parti di peringkat pusat menunjukkan kesepakatan untuk bekerjasama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: DAP yakin penyokong dan ahlinya di negeri ini tidak berdepan masalah untuk mengundi calon UMNO dalam Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, pihaknya juga tidak ragu terhadap sokongan ahli serta penyokong UMNO terhadap parti itu bagi mempertahankan dua kerusi yang dimiliki mereka di negeri ini.

Katanya, walaupun timbul rasa kekok segelintir penyokong kedua-dua parti untuk saling bekerjasama sebelum ini, perkara itu semakin dapat diatasi hari demi hari.

“Bak kata orang kalau tak kenal, maka tak cinta. Ketika ini kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN di Kedah berada pada tahap baik. Cuma di peringkat akar umbi, mungkin masih ada yang kekok tetapi itu perkara biasa.

“Lagipun di peringkat Persekutuan kita sudah membentuk Kerajaan Perpaduan. Lojiknya, tak ada masalah untuk penyokong masing-masing faham kerjasama dijalin dan saling mengundi antara satu sama lain, apatah lagi kerajaan sedang melaksanakan tugas dengan baik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kok Yew berkata, walaupun ketika ini DAP terus dijadikan alat untuk menakut-nakutkan pengundi oleh pihak tertentu terhadap PH, beliau yakin rakyat sudah menjadi lebih terbuka dan mampu membuat penilaian sebaiknya.

“Apatah lagi kita berada di zaman internet yang terbuka dan rakyat boleh buat penilaian dan kajian sendiri terhadap DAP. Saya fikir sekarang ini pun ramai yang sudah sedar bahawa DAP ini bukan hanya parti Cina sebaliknya untuk semua rakyat dan terbuka disertai semua kaum.

“Ada pihak sampai sekarang dakwa kami komunis tetapi kalau kami komunis, dudah tentu parti ini diharamkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” katanya.

Katanya lagi, dakwaan menuduh DAP kononya derhaka serta tidak hormat raja-raja Melayu juga dinafikan apabila parti itu menyatakan sokongan 100 peratus tanpa syarat terhadap titah Yang di-Pertuan Agong agar parti-parti politik bergabung membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ada orang lain tidak setuju dengan titah Tuanku tetapi kami akur dan terus melaksanakan tugas selepas dilantik menjadi kerajaan. Kalau mahu dikatakan kami mendominasi kerajaan, majoriti ahli Parlimen ketika ini masih didominasi Melayu dan bumiputera.

“Di Kedah ini pun kami cuma ada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi bagaimana kami boleh dikatakan mendominasi kerajaan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Tambahnya, perjuangan DAP tidak hanya berkisar mengenai orang Cina sahaja sebaliknya untuk semua kaum terutamanya dalam usaha memastikan kalangan marhaen terbela nasibnya.

KAPSYEN

DAP Kedah yakin ahli dan penyokongnya dapat menerima calon-calon daripada UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang selepas pemimpin kedua-dua parti di peringkat pusat menunjukkan kesepakatan untuk bekerjasama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN