Crackhouse dibenar cabar tindakan DBKL tarik balik lesen

Pemilik kelab komedi Crackhouse dibenar cabar tindakan DBKL tarik balik lesen

MOHAMAD RIZAL JOHAN VAN GEYZEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelab komedi Crackhouse dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menarik balik lesen perniagaan dan melarang dua pemiliknya mendaftar sebarang perniagaan di ibu negara, seumur hidup.

Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan kedua-dua pemilik kelab, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R. Santhiram untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan tersebut.

Mahkamah yang mendengar permohonan itu secara dalam kamar hari ini menetapkan 6 Jun ini bagi pengurusan kes.

Dalam semakan kehakiman, kedua-duanya menamakan DBKL, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.

Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili kedua-dua pemohon ketika ditemui wakil media selepas prosiding itu memaklumkan, pihaknya menggugurkan tiga responden yang sebelum ini dinamakan dalam permohonan itu.

Ketiga-tiganya ialah bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia.

Sangeet memaklumkan, tindakan saman itu tidak melibatkan ketiga-tiga responden kerana keputusan itu dibuat oleh datuk bandar manakala pengumumannya disiarkan melalui akhbar oleh timbalan menteri.

“Pengumuman itu tidak syak lagi dibuat oleh timbalan menteri (ketika itu) dan diterbitkan dalam akhbar namun keputusan tersebut bukan dibuat olehnya (timbalan menteri),” Sangeet.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 24 November 2022, mereka memohon perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa keputusan Jalaluddin dan juga kementerian yang tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup di bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.

Mereka juga memohon satu perintah membatalkan keputusan itu atas alasan mereka mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan perniagaan dengan lesen yang sah dalam bandar raya ini.

Dalam afidavit sokongan, kedua-duanya berkata, pada 17 Ogos 2022 Jalaluddin mengeluarkan satu kenyataan bahawa Jawatankuasa Pelesenan DBKL telah membuat keputusan untuk membatalkan lesen kelab komedi itu berkuat kuasa 30 Julai 2022.

Kenyataan itu juga menyebut, pemiliknya disenaraihitamkan seumur hidup daripada mendaftarkan perniagaan mereka di ibu kota dan ini telah menjejaskan mereka selaku usahawan.

Mohamad Rizal dan Shankar yang juga pengasas kelab komedi berkenaan turut mendakwa, mereka tidak pernah menerima sebarang surat atau notis rasmi daripada DBKL mengenai perkara itu.

Mohamad Rizal sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 22 Julai 2022 terhadap tiga pertuduhan jenayah iaitu membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran jelik itu dibuat melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 31 Mei ini bagi keputusan representasi kedua Mohamad Rizal untuk menggugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.

Hakim N. Priscilla turut menetapkan perbicaraan didengar pada 1 dan 2 Jun jika representasi itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya