Cadang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan diadakan peringkat negeri

Zahid cadang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan diadakan peringkat negeri

AHMAD berucap pada sesi meja bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan turut diadakan di peringkat negeri.

Ini kerana katanya, ia dapat memberi peluang kepada lebih ramai akar umbi parti untuk menyuarakan pandangan serta idea mereka.

“Saya lihat bahawa harus ada tindakan susulan di mana saya yakin konvensyen peringkat negeri dicadangkan supaya diadakan.

“Ia supaya akar umbi turut dapat menyertai, bukan sahaja mendengar tetapi memberi pandangan yang pelbagai untuk mewarnai kepelbagaian, (jadi) harus kita buka kepada orang ramai untuk menyertainya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Majlis Profesor Negara 2023 di sini hari ini.

Semalam, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali di WTCKL berjaya menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, konvensyen yang berlangsung semalam itu turut berjaya mewujudkan keserasian dalam kalangan pemimpin utama parti.

Menurut beliau, keserasian merupakan unsur penting yang perlu ada di dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Semalam jelas (keserasian) bukan setakat pemimpin di atas pentas tetapi perwakilan daripada pelbagai parti yang berada dalam dewan, (mereka) bukan hanya mendengar tetapi juga berinteraksi antara satu sama lain. Yang kita akan hadapi nanti ialah PRN, jadi keserasian ini penting untuk kita laksanakan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan ada dalam kalangan bekas ahli UMNO yang merasakan bahawa tidak sepatutnya pemimpin dari parti lain berucap di konvensyen berkenaan, kononnya melunturi semangat nasionalisme.

“Hakikat politik, kita harus lihat dari segi dinamika, bukan kita mahu fokus kepada sesebuah parti atau tokoh tapi kita lihat hakikatnya bahawa kemajmukan ini harus diakui sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan dan perlu disantuni,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ahmad Zahid menekankan mengenai kolaborasi antara ilmuwan dan pihak pemerintah dengan menyarankan agar perbincangan bulanan antara wakil MPN dan kerajaan dapat diadakan.

Jelasnya, wacana intelektual tersebut wajar diadakan mengikut sektor atau bidang tertentu dengan kementerian terlibat.

“Input daripada MPN adalah amat penting kerana mereka ada banyak kluster. MPN ada ‘pool of talent’ dan juga pakar dalam bidang tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya