Buli di sekolah, sembilan remaja lelaki ditahan - Utusan Malaysia

Buli di sekolah, sembilan remaja lelaki ditahan

TANGKAP layar video kes pergaduhan membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan kes buli yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Utara (SPU), di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, siasatan awal mendapati terdapat dua kejadian berasingan membabitkan dua mangsa lelaki terdiri daripada Tingkatan Satu dan Dua yang mana kedua-dua kes itu berlaku pada hari yang sama 19 Mei lalu.

Katanya, kes berkenaan membabitkan dua mangsa yang dipukul beberapa pelajar lain di dalam tandas lelaki dipercayai di sekolah tersebut.

“Kes pertama berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari iaitu mangsa merupakan pelajar Tingkatan Dua telah dipukul oleh seorang pelajar Tingkatan Tiga.

“Kes kedua pula berlaku pukul 3 petang yang mana mangsa merupakan pelajar tingkatan satu telah dipukul oleh sembilan pelajar senior.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa dipukul menggunakan tangan serta kaki tanpa sebarang objek lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi kes kedua, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat di sekolah sama.

Selain itu, jelasnya, polis turut merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan kedua-dua kes itu yang videonya masing-masing berdurasi 24 dan 34 saat turut tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

“Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang manakala kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial dua kejadian pergaduhan berasingan di sekolah dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sejak semalam.

Satu daripadanya berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam sebuah tandas sekolah.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang turut kelihatan menjadi ‘penonton’ aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.