Bukan ingin letak jawatan, berundur daripada politik - Mohd. Shafie

Bukan ingin berundur daripada politik – Mohd. Shafie

MOHD. Shafie Apdal (kiri) dan Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto S. Padua dalam sidang akhbar selepas mesyuarat AMT Warisan di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Saya tidak akan letak jawatan (Presiden Warisan), saya akan teruskan perjuangan ini untuk membolehkan suara rakyat di Sabah kedengaran dan hak mereka dipenuhi,”.

Demikian penjelasan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai kekeliruan yang timbul susulan kenyataannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau hanya menyatakan sekiranya berlaku sesuatu terhadapnya maka, Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking secara automatik akan mengambil alih jawatan Presiden parti.

Namun, itu bukan petanda bahawa beliau ingin mengundur diri dari politik kerana perjuangannya dalam parti masih perlu diteruskan.

“Kalau apa-apa berlaku, mana kita tahu usia kita lanjut macam mana tapi, kalau sesuatu berlaku maka, Timbalan (Presiden) secara automatik akan memegang jawatan itu. Tapi, doakan supaya panjang umur.

“Cuma saya minta bagaimana parti berbilang bangsa ini, walaupun saya sebagai orang Melayu Islam, tidak semestinya Darell sebagai orang Kristian berbangsa KDM tidak boleh memimpin parti ini.

“Jadi, sekiranya ada proses peralihan maka, saya minta terima dengan baik tansisi tersebut supaya kita dapat mematangkan politik di Sabah ini,” katanya semasa mengulas mengenai laporan akhbar yang memberi gambaran seolah-olah beliau ingin mengundur diri daripada arena politik.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan di Ibu Pejabat Warisan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu berkata, apabila proses peralihan berlaku kelak beliau berharap pemimpin akar umbi akan menerimanya kerana tidak semestinya beliau sahaja layak menjadi pemimpin parti.

Malah, jika dilihat sejarah politik Sabah, sudah banyak Ketua Menteri bukan Islam yang telah dilantik.

Mengenai mesyuarat itu, Mohd. Shafie berkata, dalam usaha memantapkan lagi kepimpinan Warisan, mereka bersetuju melantik beberapa pemimpin baharu di peringkat Pusat dan bahagian susulan ada beberapa ketua bahagian meletak jawatan.

Antara lantikan baharu yang dilakukan adalah ADUN Bongawan, Dr. Daud Yusof sebagai Naib Presiden Warisan, ADUN Darau, Azhar Matussin dan bekas calon Warisan Tawau Chen Kiet Chuin atau KC Chen dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Turut dilantik adalah ADUN Tungku, Assaffal P. Alian sebagai pemangku Ketua Bahagian Lahad Datu, ADUN Sekong sebagai pemangku Ketua Bahagian Batu Sapi, ADUN Elopura, Calvin Chong sebagai pemangku Ketua Bahagian Sandakan, Datuk Mohd. Azis Jamman sebagai pemangku Ketua Bahagian Kudat.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.