PETALING JAYA: Penyanyi, Black Hanifah, 35, terkejut apabila namanya dikaitkan dengan aktiviti penggubalan wang haram hanya kerana memiliki sebuah kapal persiar dan sebuah vila mewah di Langkawi.
Tampil menerusi sebuah video di Instagram, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah menafikan dakwaan terbabit dan menegaskan hasil kemewahan yang dimiliki adalah daripada usahanya bergelar ahli perniagaan.
“Benar, saya ada vila dan yacht (kapal persiar) di Langkawi. Pengikut saya tahu apa yang sedang saya lakukan untuk keluarga dan kawan-kawan yang memerlukan pekerjaan.
“Bila keluar desas desus mengatakan saya ‘cuci duit’, saya tekejut tapi tak hairan sebab orang boleh cakap apa sahaja.
“Sebenarnya Melayu yang suka menjatuhkan Melayu. Itu sahaja yang boleh saya cakap. Tak semua, tapi segelintir yang tak boleh melihat kemewahan orang Melayu yang berdiri di atas apa yang dia lakukan.
“Orang hanya nampak kemewahan dan kejayaan itu. Orang tak nampak kesusahan di sebaliknya,” katanya dalam video berkenaan.
Bukan itu sahaja, Black mendakwa, tuduhan ‘cuci duit’ yang berlegar beberapa hari ini telah membuatnya hilang kepercayaan daripada orang terdekat.
Dia juga mengalami keresahan (anxiety) sehingga perlu bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan.
“Ini minggu yang mencabar untuk saya. Disebabkan video itu banyak perkara yang terganggu. Saya sendiri mengalami keresahan yang agak teruk sampai terpaksa jumpa doktor.
“Kesan tuduhan jahat ini mahal. Saya tidak mengalami kerugian namun kehilangan kepercayaan orang terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan.
“Terpaksalah saya menghabiskan minggu ini dengan menjawab panggilan telefon dan pesanan mesej daripada orang untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya lagi.
Terdahulu, tular sebuah video pendek mengenai aset kapal persiar yang dimiliki oleh penyanyi lagu Sofea Jane itu di Langkawi. Lantaran itu, timbul spekulasi mengatakan sumber kemewahan yang dimiliki penyanyi itu adalah daripada aktiviti penggubalan wang haram.