PETALING JAYA: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Datuk Clifford F. Herbert meninggal dunia pagi ini.
Perkhabaran duka itu dikongsikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, mendiang adalah seorang pegawai yang baik dan memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara.
“Secara peribadi, saya akan terus mengingati jasa mendiang terhadap pembangunan negara khususnya pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya utus salam takziah buat keluarga mendiang, semoga mereka tabah hadapi dugaan ini,” katanya.
Herbert sebelum ini dilaporkan berkhidmat di Kementerian Kewangan dari tahun 1975 hingga 1997 dengan memangku jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan bersara dari Perkhidmatan Awam pada tahun 1997.
Beliau juga merupakan Pengerusi Lapangan Terbang Antarabangsa KL yang membina KLIA serta pernah dilantik sebagai Gabenor alternatif Bank Dunia bermula tahun 1994 hingga 2000.
Selain itu, beliau berkhidmat dalam pelbagai badan berkanun dan syarikat milik kerajaan antaranya Kumpulan Khazanah Nasional Berhad, Petroliam Nasional Berhad dan Bank Negara Malaysia. – UTUSAN