Bekas jurujual, juruteknik lega terlepas tali gantung - Utusan Malaysia

Bekas jurujual, juruteknik lega terlepas tali gantung

Gantung
CHU Pei Lee (tengah) danHar Tan Weng (dua kanan) bersama peguam masing-masing selepas mendengar keputusan akhir pendakwaan berhubung pertuduhan mengedar dadah, dekat Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua tertuduh menarik nafas lega terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 386.54 gram, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Chu Pei Lee, 43, dan Har Tan Weng, 46. 

Norsharidah dalam penghakimannya menjelaskan, mahkamah mendapati elemen pemilikan dan pengedaran dadah-dadah berbahaya seperti dalam pertuduhan gagal dibuktikan pihak pendakwaan termasuk elemen niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).

“Dalam menilai rakaman percakapan saksi (seorang lagi tertuduh yang telah meninggal dunia) yang dikemukakan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 32 (1) (i) Akta Keterangan, mahkamah juga berpendapat bahawa keterangan itu tidak boleh diterima pakai.

“Ini kerana memprejudiskan kedua-dua tertuduh. Rakaman percakapan tersebut adalah milik rakan sejenayah tertuduh. Oleh itu, keterangan sokongan adalah diperlukan,” tegasnya. 

Terdahulu, Pei Lee dan Tan Weng bersama seorang lagi tertuduh iaitu mendiang Seet Man Zung yang meninggal dunia semasa kes masih lagi dibicarakan, didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 386.54 gram di sebuah rumah di Damansara Damai kira-kira pukul 11.30 malam, 10 November 2017.

Justeru, jika sabit kesalahan, bekas jurujual dan juruteknik itu boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Pada prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim yang bermula 28 Jun tahun lalu, seramai 10 orang saksi dikemukakan sementara kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Chris Kooi dan Ivy Chin serta Khairul Naim Rafidi. 

Dalam kamar mahkamah sama, Pei Lee dan Tan Weng turut berdepan pertuduhan memiliki dadah masing-masing jenis nimetazepam seberat tiga gram, ketamin (13.95 gram) dan methamphetamine (4.14 gram) yang didakwa mengikut Seksyen Seksyen 12 (2) dan (3) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya