Bekas hakim, anggota polis didakwa minta rasuah, subahat lepaskan kes khalwat - Utusan Malaysia

Bekas hakim, anggota polis didakwa minta rasuah, subahat lepaskan kes khalwat

BURHANUDDIN Ismi Adam (kanan) dan Muhamad Hamri Ayob didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini kerana meminta rasuah dan bersubahat lepaskan kes khalwat. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas hakim Mahkamah Syariah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM4,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Burhanuddin Ismi Adam, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima suapan sebanyak RM4,000 daripada Muhammad Afiq Abd. Majid, 39.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada Muhammad Afiq di bawah Seksyen 54(1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran di Jalan Chemor Saujana 1, Desa Chemor Saujana di Ipoh pada pukul 11.30 malam, 10 September 2019.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding di mahkamah sama, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhamad Hamri Ayob, 34, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Burhanuddin Ismi dengan meminta wang suapan berjumlah RM4,000 daripada Muhammad Afiq.

Perbuatan bapa kepada empat anak itu didakwa dilakukan di sebuah restoren makanan segera di Jalan Kuala Kangsar, Taman Tasek Mutiara, Ipoh pada pukul 5.30 petang, 10 September 2019.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun Burhanuddin Ismi dan Muhamad Hamri yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum dikenakan terhadap mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun depan untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya