Bekalan gula kurang di pasaran - Utusan Malaysia

Bekalan gula kurang di pasaran

Rak gula yang hampir kosong di salah sebuah premis perniagaan di Gong Badak, Kuala Nerus. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Peniaga di daerah ini dan Kuala Terengganu mendakwa bekalan gula sema­kin berkurangan di pasaran sejak Sabtu lalu.

Seorang peniaga kedai runcit, Siti Mazwin Jusoh, 44, dari Kampung Batu Enam di sini berkata, dia difahamkan kekurangan bekalan gula itu dipercayai bermula selepas mendapat permintaan tinggi daripada pengguna menjelang Aidilfitri lalu.

Menurutnya, gangguan bekalan gula itu berlaku selepas pihak pembekal dan pemborong utama memberi alasan cuti panjang sempena musim perayaan.

“Keadaan tersebut bertambah kritikal kerana kebanyakan pe­ngangkutan tidak beroperasi dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun tambahnya, perkhidmatan pengangkutan dijangka mula beroperasi pada awal minggu depan.

“Pembekal mengatakan bekalan gula akan kembali pulih secara berperingkat bermula 4 Mei tetapi saya tidak berharap kerana sudah empat hari kedai kehabisan gula,” katanya.

Sementara itu peniaga, Sya­kila Awang, 42, dari Seberang Takir memberitahu, dia menerima bekalan gula daripada pembekal hampir dua minggu lalu dan sudah habis terjual sejak Rabu lepas.

Katanya, dia membuat pesa­nan lebih 700 bungkusan namun hanya 300 sehingga 400 peket yang sampai menyebabkan dia terpaksa mengehadkan empat bungkus kepada setiap pembeli.

“Ramai pengguna merungut sukar mendapatkan gula termasuk pelanggan tetap, tetapi memang bekalan terjejas sejak minggu lalu dipercayai disebabkan cuti panjang,” katanya.

Pengusaha kantin sekolah dikenali sebagai Hazrul, 37, berkata, situasi itu menyebabkan operasi hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan semalam terganggu.

“Saya cuba mencari gula di beberapa pasar raya utama serta kedai runcit dan didapati bekalan agak kurang berbanding kebiasaan, malah pembelian juga dihadkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayob berkata, masalah bekalan gula satu kilogram dikesan berlaku di Terengganu dan Kelantan.

Beliau menjelaskan, situasi itu timbul selepas penutupan sementara kilang utama di Johor sempena Aidilfitri namun sudah diatasi dengan kilang terbabit kembali beroperasi pada 25 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN