Baki 20 pakej Pan Borneo Sabah dijangka mula hujung tahun ini

Baki 20 pakej Pan Borneo Sabah dijangka mula hujung tahun ini

SHAHELMEY Yahya (tiga kiri) beramah mesra dengan kakitangan JKR pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Sektor Lebuhraya Pan Borneo di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pelaksanaan baki 20 pakej fasa satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijangka bermula sebelum hujung tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, peruntukan sejumlah RM20 bilion telah diluluskan dalam Bajet 2023 bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak jadi diharap, 20 pakej fasa satu itu dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Kerja Raya itu berkata, apabila penganugerahan projek telah dilakukan maka, lantikan kontraktor boleh dibuat.

“Pelaksanaan fasa satu membabitkan 35 pakej dan 15 pakej telah pun dilantik kontraktor dan sedang dilaksana manakala, baki 20 pakej lagi masih menunggu kelulusan untuk pelaksanaan.

“Terdapat kelewatan bagi pelaksanaan baki 20 pakej ini kerana pada awalnya pembangunan lebuh raya ini dilaksanakan menerusi Rakan Pelaksana Projek (PDP) tapi, ia telah ditamatkan pada 2018-2019 semasa pertukaran kerajaan.

“Apabila PDP ditamatkan maka, timbul persoalan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai pakej-pakej yang berbaki.

“Maka, untuk 15 pakej yang sedang berjalan, ia dibiayai menerusi peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM1 bilion setahun dan ia tidak mencukupi,” katanya selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini pelaksanaan 15 pakej fasa satu telah mencapai 79 peratus dan keseluruhan 15 pakej ini dijangka siap sebelum hujung tahun depan.

Namun, perkembangan itu agak perlahan susulan beberapa isu seperti pengalihan utiliti yang mengambil sedikit masa maka, beliau telah mengarahkan semua pihak berkaitan termasuk kontraktor untuk segera menyelesaikan isu-isu yang menyebabkan pelaksanaan Pan Borneo sedikit tergendala.

“Daripada 15 pakej, dua pakej sudah siap iaitu pakej lima di Bulatan Benoni ke jajaran di Papar dan pakej 27 dari check point Batu 32, Sandakan manakala, dua pakej lagi dijangka siap pada tahun ini iaitu pakej 15 di Balung, Tawau dan pakej 21 di Lahad Datu Bypass.

“Sementara baki 11 pakej lagi, kita harap boleh siap sebelum akhir tahun 2024,” katanya.

Mengenai persediaan menghadapi fenomena El-Nino, Shahelmey berkata, kementeriannya telah meminta konsesi air iaitu Jetama Sdn Bhd dan loji-loji yang berhampiran dengan empangan supaya sentiasa memantau paras air di empangan.

Jelasnya, beliau akan memastikan paras air di empangan di Sabah berada dalam keadaan selesa bagi berhadapan dengan fenomena El-Nino.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN