ASEAN kekal pendirian, dialog selesai isu Myanmar

ASEAN kekal pendirian, dialog selesai isu Myanmar

ZAMBRY Abd. Kadir ketika menyertai mesyuarat persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia. - GAMBAR IHSAN SEKRETARIAT ASEAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) bersetuju mengekalkan Muafakat Lima Perkara (5PC) sebagai mekanisme utama menangani situasi di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia antara perkara yang disepakati mereka menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia esok yang mahu supaya 5PC dilaksanakan sepenuhnya pihak-pihak berkepentingan di Myanmar.

Beliau berkata, AMM menyokong usaha Indonesia selaku Pengerusi ASEAN 2023 dalam berbincang serius dengan kesemua pemegang taruh di Myanmar.

“ASEAN turut menerajui segala usaha bantuan di negara itu menerusi Pusat Koordinasi Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (AHA) yang dibentuk pada 2011 lalu,” katanya dalam kenyataan.

Kemelut Myanmar menjadi masalah baharu blok itu ekoran rampasan kuasa junta diketuai Min Aung Hlaing pada 2021 dan menggulingkan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi.

Presiden Win Myint turut ditahan  pihak tentera yang digelarkan Tatmadaw dengan alasan keputusan pilihan raya umum pada 2020 lalu tidak sah kerana ada unsur penipuan.

Sejak itu, Myanmar disisih dalam semua mesyuarat rasmi Sekretariat ASEAN termasuk sidang kemuncak pada 2021 dan 2022 lepas yang masing-masing di Brunei dan Kemboja.

Zambry berkata, AMM bersetuju agar keganasan perlu dihentikan segera bagi memudah cara penyaluran misi kemanusiaan dan juga diadakan dialog inklusif.

Malaysia jelasnya, turut mengalu-alukan penyertaan Arab Saudi, Panama dan Sepanyol ke Triti Kerjasama dan Persahabatan Asia Tenggara yang diwujudkan ASEAN pada 1976.

Setakat tahun lalu, sejumlah 49 buah organisasi dan negara sudah menyertai triti itu dan Malaysia juga katanya, mengulangi sokongan permohonan Maldives untuk memasukinya.

Turut dibincangkan ialah persetujuan agar Sidang Kemuncak ASEAN-Kanada diadakan pada September depan ketika sela sesi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 berlangsung.

AMM juga bersepakat supaya Sidang Kemuncak ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diselaraskan Malaysia dibuat pada Oktober depan di Riyadh, Arab Saudi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya