KUALA LUMPUR: Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan sudah menghantar borang permohonan menyertai Pas bulan lalu bersama lebih 1,000 ahli UMNO lain.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau memutuskan menyertai Pas selepas lebih enam bulan meneliti secara dekat dan mendalam suasana politik negara mutakhir ini.
Menurutnya, keputusan tersebut diambilnya ketika berada di Tanah Suci Mekah pada bulan lalu.
“Saya sahkan saya ada buat permohonan (sertai Pas) tetapi terpulang kepada Pas untuk menerima atau tidak kerana saya bukanlah sesiapa pun.
“Cumanya, saya nak betulkan apa yang diumumkan (Setiausaha Agung Pas) Datuk Seri Takiyuddin (Hassan) sebelum ini, bukan saya bersama 10 orang, sebaliknya bersama lebih 1,000 ahli UMNO,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis Aidilfitri MN di sini, hari ini.
Menurut Annuar, lebih 1,000 ahli UMNO yang turut mengikut jejak langkahnya memohon menyertai Pas adalah terdiri daripada bekas pemimpin meliputi seluruh peringkat.
“Mereka terdiri daripada pemimpin UMNO, mantan ketua bahagian ada, timbalan ketua bahagian ada, naib ketua bahagian ada, ketua pemuda juga ada.
“Ini adalah permulaan pertama dan selepas itu terpulang kepada mereka (ahli UMNO lain) membuat penilaian dan boleh menyusul,” katanya namun beliau tidak mendedahkan identiti pemimpin UMNO yang turut sama memohon menyertai Pas.
Khamis lalu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendedahkan Annuar termasuk lebih 10 bekas pimpinan Umno akan menyertai PAS, sementara bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula “menunjukkan minat” menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Takiyuddin, beliau pengumuman penerimaan keahlian tokoh politik berkenaan dalam Pas dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, beliau memilih sertai Pas atas beberapa faktor antara parti tersebut mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia.
“Saya pilih parti yang saya saksikan sewaktu bersama mengendalikan Muafakat Nasional dan bersama dalam kerajaan, Pas adalah sebuah parti yang mendapat dokongan majoriti rakyat malaysia.
“Keduanya Pas menunjukkan keikhlasannya sewaktu bersama dengan UMNO dan mempunyai prinsip serta tidak mengamalkan politik Machiavelli selain mempunyai pegangan dan asas yang sangat kukuh,” katanya.
Pada Disember lalu, UMNO mengesahkan memecat Annuar dengan tiga lagi pemimpin parti itu pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Keanggotaan Annuar tergugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO. – UTUSAN











