Ahli perniagaan terima wang 1MDB, SRC ditahan di KLIA Terminal

Ahli perniagaan terima wang 1MDB, SRC ditahan di KLIA Terminal 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan yang menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) ditahan sebaik sahaja tiba di ibu negara pada Rabu lalu.

Penahanan lelaki yang juga bekas pegawai 1MDB itu dilakukan SPRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2) pada pukul 3.30 pagi hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara.

Menurut sumber, suspek yang sedang dalam siasatan SPRM dibawa pulang kerana disyaki menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB dan SRC selepas menghilangkan diri sejak 2018.

“Dia kemudian diserahkan Notis Perintah untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi kelmarin.

“Pegawai SPRM merakamkan keterangan beliau dan penggeledahan rumah telah dilakukan pada hari yang sama,” kata sumber itu.

Sumber berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu telah menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

Jelas beliau, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) sebelum ini telah melaporkan berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira AS$5.2 juta.

“Selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa beliau telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M),” jelasnya.

Tambah sumber, SPRM dengan kerjasama CAD Singapura berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada syarikat Totality Limited milik seorang ahli perniagaan pada 26 April lalu.

“Tang Keng Chee ataupun dikenali sebagai Casey Tang merupakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB dari 2012 hingga 2013.

“Beliau terlibat dengan 1MDB ketika itu dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2011,” jelasnya.

Tambah sumber, konspirasi yang dilakukan adalah dengan mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd. yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho (Jho Low).

Sumber berkata, pihak SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap (Red Notice) bertarikh 29 Jun 2018 terhadap Tang Keng Chee yang masih tidak dapat dikesan dan telah menghilangkan diri.

“Tindakan itu kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata, SPRM kini sedang berusaha untuk membawa pulang beberapa lagi aset daripada individu-individu yang terlibat di Singapura.

SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 billion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.