KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mendakwa mereka terpaksa menggunakan duit sendiri untuk penduduk di kawasan mereka kerana kerajaan belum mengagihkan peruntukan kepada mereka dengan cukup malah tiada kata putus mengenai perkara itu.
Keadaan tersebut menjadi semakin sulit apabila Perikatan Nasional (PN) berasa ‘ditekan’ selepas kerajaan sebelum ini dilapor masih menunggu ‘tawaran’ rasmi atau cadangan daripada pembangkang.
Ekoran tawaran yang disebut, pembangkang berpandangan kerajaan seolah-olah tidak mahu memberi peruntukan yang sama, sehingga sanggup meminta ‘balasan’ sebagai situasi menang-menang, sebelum memberi peruntukan setimpal kepada mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sehingga kini beliau tidak mendapat peruntukan kerajaan untuk menampung perbelanjaan dan keperluan rakyat di kawasannya.
Ketua Pemuda PN itu berkata, beliau dan pemimpin pembangkang lain akan terus bersuara di Parlimen dan menuntut supaya kerajaan memberi peruntukan yang cukup, meskipun sedar ia kemungkinan besar tidak akan menjadi agenda utama kerajaan.
“Kami sendiri tidak jelas apa maksud tawaran yang kerajaan mahukan. Tidak patutlah jadikannya sebagai syarat barulah kerajaan bersetuju memberi agihan peruntukan yang adil kepada kami. Ia macam kerajaan tidak mahu beri kami langsung.
“Gaji ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sudah tentu jauh berbeza. Sebab itu saya sendiri buat sekadar yang termampu sahaja, selain menerima sumbangan rakan-rakan yang lain untuk keperluan rakyat kawasan saya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor berkata, keadaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jauh berbeza berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini.
“Sekarang kami yang susah, terpaksa guna duit sendiri membantu rakyat, pergi melawat kawasan. Apa sahaja program pun guna duit sendiri. Selepas pembangkang berjumpa kerajaan sebelum ini, kerajaan tidak mahu beri peruntukan.
“DAP pula, kalau mahu bantu orang Cina dapat peruntukan. Senang-senang beri duit di sekolah Cina yang tidak berdaftar. Sebenarnya ini kerajaan paling teruk yang pernah saya saksikan,” katanya.
Utusan Malaysia menghubung tiga Ahli Parlimen yang bertanggungjawab berunding dengan kerajaan mengenai isu tersebut, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) dan Datuk Dr. Radzi Jidin (Putrajaya).
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka gagal dihubungi apabila panggilan telefon tidak diangkat.
Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu menyokong pemberian peruntukan yang sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang dan perlu dirunding.
Bagaimanapun, 8 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembangkang masih perlu mengemukakan cadangan atau tawaran rasmi daripada pembangkang ketika kerajaan tidak menetapkan syarat agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Ahli Majlis Tertinggi PN juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim berkata, mereka tidak akan mengemukakan cadangan berkaitan peruntukan itu kerana pembangkang bukan penagih sehingga perlu merayu seperti peminta sedekah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob pula berkata, kerajaan bersikap tidak adil kerana menjadi hak Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik untuk mendapat peruntukan sama rata.
“Peruntukan ini kalau mengikut janji dan amalan sebelum ini memang kami harus terima, cuma kerajaan dapat lebih lagi. Sekurang-kurangnya kami dapat pejabat sendiri. Sebaliknya, kami langsung tidak terima. Kami terpaksa guna duit gaji sendiri,” katanya. – UTUSAN










