Agihan kerusi kena bincang secara blok - MCA

Agihan kerusi kena bincang secara blok – MCA

CHONG SIN WOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri perlu dibincangkan secara blok dan bukannya melibatkan individu tertentu sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, persetujuan bersama semua parti komponen BN diperlukan dalam mendepani PRN.

Katanya, perkara itu selari dengan ketetapan BN sebelum ini yang menekankan tidak ada satu individu parti mewakili gabungan itu untuk berbincang.

“Mereka boleh jumpa PH untuk berborak atau sebagainya, tetapi secara rasminya berbincang tentang agihan kerusi kena blok BN dengan PH.

“Bukan melibatkan mana-mana individu (tertentu) sebab kita tubuhkan kerajaan secara blok,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 15 April lepas, media melaporkan, Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada BN dan PH sudah 80 peratus selesai mengagihkan kerusi di enam buah negeri yang terlibat PRN.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, baki 20 peratus pengagihan kerusi di negeri-negeri terbabit ketika ini memerlukan perincian yang lebih sebelum ia dimuktamadkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini memberitahu, proses pengagihan kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk PRN di Kedah sudah hampir dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Sin Woon yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Tertinggi BN berkata, BN setakat ini masih belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi berhubung agihan kerusi untuk mendepani PRN itu.

Beliau berkata, gabungan itu akan memuktamadkannya dalam kalangan parti komponen sebelum meneruskan perbincangan bersama PH.

“Perbincangan tidak rasmi telah dilakukan, tetapi selepas perbincangan antara kami baru berjumpa PH secara rasmi untuk bincang agihan kerusi. Kita akan mesyuarat secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kenyataan berbeza antara pemimpin BN mengenai agihan kerusi walaupun BN belum berbincang, beliau berkata: “Siapa yang keluarkan kenyataan itu, kena tanya individu itulah.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×