BAGAN SERAI: Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ada datang berjumpa dengan beliau ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, beliau didatanginya sendiri oleh ADUN berkenaan.
Razman yang enggan mendedahkan jumlah dan nama ADUN kerajaan yang berjumpa beliau berkata, beliau mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
“Kebenarannya (gerakan tumbangkan kerajaan negeri Perak) tak dapat nak dibuktikan, umpama kalau seseorang itu merancang nak pergi mencuri, tapi jadi atau tidak, kita tak tahu.
“Saya tak tahu ini perancangan siapa, benar atau tak benar itu saya tak tahu, kalau benar berlaku kita mengalu-alukannya.
“Saya tahu (wujud gerakan tumbangkan kerajaan negeri) sebab ada beberapa orang (ADUN kerajaan) yang jumpa saya. Tapi tak kan saya nak cerita (terperinci),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengenai kenyataan Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menafikan ada gerakan menumbangkan kerajaan negeri, Razman yang juga Timbalan Pengerusi PN Perak berkata, dalam perkara itu, berpandukan al-Quran, Allah berkata, hati manusia tidak boleh dipegang.
Menurutnya, boleh jadi hari ini seseorang itu menyokong parti tertentu tidak mustahil akan beralih sokongan seperti yang sering berlaku dalam politik negara.
“Memang (parti politik) ada baiah, berjanji tapi tak boleh nak pegang.
“Kalau beliau (Saarani) kata sudah ‘scan’ (ADUN kerajaan) Alhamdulillah, kita pun harap kerajaan ini sampai hujung penggal tapi rasanya tak sampai agaknya,” katanya.
Sebelum ini, Saarani menegaskan Kerajaan Perpaduan di Perak masih kukuh walaupun terdapat pelbagai dakwaan dan khabar angin berkaitan pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Julai ini.
Saarani menyifatkan desas-desus itu sama sekali tidak berasas memandangkan tiada mana-mana ADUN kerajaan menunjukkan tanda untuk meninggalkan kerusi kawasan masing-masing.
Untuk menubuhkan kerajaan negeri di Perak memerlukan sokongan 30 daripada 59 ADUN.
Kerajaan Perpaduan Perak terdiri daripada gabungan 33 wakil rakyat iaitu 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) dan sembilan daripada BN.
Blok pembangkang pula, PN mempunyai 26 ADUN dengan Pas paling ramai iaitu sebanyak 17 orang manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seramai sembilan orang.
Pembangkang hanya memerlukan sokongan empat ADUN kerajaan jika mahu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
DUN Perak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan lompat parti. – UTUSAN










