695 kes pekerja hilang pendengaran akibat bising di tempat kerja - Utusan Malaysia

695 kes pekerja hilang pendengaran akibat bising di tempat kerja

DR. RABAAYAH DAUD (kanan) beramah mesra dengan kakitangan pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri JKKP Perak di Bangunan Seri Kinta di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 695 kes  atau 96 peratus kes pekerja hilang pendengaran akibat terdedah bunyi bising di tempat kerja dicatatkan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Dr Rabaayah Daud berkata, jumlah itu menjadikan masalah tersebut sebagai penyakit pekerjaan paling tinggi di Perak.

Katanya, kebanyakan pekerja yang menghadapi masalah itu merupakan mereka yang terlibat dalam sektor pembuatan dan pengilangan.

“Sepanjang tahun 2022, kita merekodkan sebanyak 722 kes berkaitan penyakit dan keracunan pekerjaan di mana masalah hilang pendengaran merupakan kes terbanyak dilaporkan iaitu 695 kes atau 96 peratus.

“Bagi tahun ini sehingga April, sebanyak 346 kes pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan telah diterima dengan 250 daripadanya membabitkan masalah hilang pendengaran,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri JKKP Perak di Bangunan Seri Kinta di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, masalah disebabkan bunyi bising ini tidak pernah berkurangan ekoran kebanyakan kilang masih menggunakan mesin lama yang menghasilkan bunyi yang keterlaluan.

Sehubungan itu katanya, bagi mengurangkan risiko kes berkenaan, pihaknya berusaha memperbanyakan program kesedaran dengan pihak industri.

“Menerusi program itu, majikan diberi penekanan untuk menjaga kebajikan pekerja agar tidak terlalu terdedah dengan bunyi-bunyi bising,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 883 kes membabitkan kecederaan pekerjaan terhadap pekerja dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 20 kes mengakibatkan maut manakala 33 kes pula melibatkan hilang upaya kekal (HUK) dan tidak hilang upaya kekal (THUK) dengan 830 kes.

“Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 288 kes kecederaan pekerjaan dilaporkan ke JKKP Perak di mana empat daripadanya adalah kes maut, lima kes HUK dan 279 kes THUK,” katanya.

Tambah beliau, JKKP Perak juga telah mengeluarkan sebanyak 2,431 surat arahan dan 864 notis sepanjang tahun lalu di mana 77 kesalahan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 dengan jumlah tawaran kompaun sebanyak RM264,500 dikeluarkan selain 29 kesalahan dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah denda RM338,000.

“Sepanjang tahun ini, JKKP Perak telah mengeluarkan 32 kompaun dengan jumlah tawaran kompaun sebanyak RM111,500 selain tujuh kesalahan juga dikenakan tindakan pendakwaan dengan jumlah denda sebanyak RM111,400,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya