4 suspek bantu ah long simbah cat, bakar kereta ditahan - Utusan Malaysia

4 suspek bantu ah long simbah cat, bakar kereta ditahan

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan suspek yang terlibat dalam perbuatan khianat menyimbah cat dan membakar kereta peminjam ah long dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Gara-gara mahu mengurangkan hutang yang dipinjam daripada seorang ah long dari Singapura, dua suspek lelaki tempatan sanggup bertindak membakar dan menyimbah cat terhadap tiga buah kereta milik peminjam-peminjam lain di negeri ini, 30 April lalu.

Malah, kedua-dua suspek lelaki itu turut melibatkan dua kenalan wanita mereka untuk sama-sama bersekongkol melakukan perlakuan jenayah khianat tersebut.

Bagaimanapun, perlakuan jenayah khianat keempat-empat suspek berusia 22 hingga 33 itu berjaya dipatahkan polis setelah kesemua mereka ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, keempat-empat suspek berjaya ditahan susulan tiga laporan kejadian kebakaran kereta melibatkan Perodua Kelisa, Perodua Alza dan Perodua Myvi, 30 April lalu.

”Polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya dibakar pukul 4.20 pagi di Bukit Tengah.

”Kemudian pada tarikh sama polis turut menerima dua lagi laporan yang membabitkan kejadian membakar kereta iaitu di Bukit Minyak dan Air Itam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menggunakan kereta jenis Toyota Yaris berwarna merah dan hasil risikan polis berjaya mengesan kedudukan kereta tersebut lalu menahan dua suspek iaitu seorang lelaki dan teman wanitanya.

”Kedua-duanya ditahan di tepi Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pukul 12.05 tengah malam, 4 Mei lalu dan ketika ditahan, kedua-duanya sedang tidur di dalam kereta tersebut.

”Hasil soal siasat yang dilakukan berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak sebelum polis menahan suspek wanita di Kampung Simee, Ipoh, 6 Mei lalu,” katanya.

Tambahnya, menerusi siasatan, polis mendapati dua suspek lelaki telah meminjam wang daripada seorang ah long dari Singapura yang dikenali sebagai Tian.

”Dua suspek lelaki itu membuat pinjaman sekitar RM1,000 hingga RM2,000, dan mereka menerima arahan terus daripada ah long berkenaan untuk melakukan khianat kepada peminjam lain yang gagal membayar hutang mereka.

”Suspek pertama juga diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet sebelum diagihkan kepada suspek ketiga.

”Teman wanita suspek pertama didapati membantu suspek menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps, manakala suspek keempat iaitu seorang wanita berperanan menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat,” katanya.

Kata Mohd. Shuhaily, keempat-empat suspek aktif melakukan jenayah itu sejak pertengahan Mac lalu dengan menumpukan kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket ini.

“Suspek pertama, kedua dan ketiga direman tujuh hari manakala suspek keempat direman empat hari iaitu sehingga 10 Mei,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951/ Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya