15 tahun tunggu tunai haji, impian warga emas termakbul

15 tahun tunggu tunai haji, impian warga emas termakbul

PARINAH Dolah (kanan) teruja dapat mengerjakan ibadah haji selepas mendaftar dengan Tabung Haji 15 tahun lalu. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penantian selama 15 tahun seorang wanita untuk ke Tanah Suci berakhir selepas warga emas itu menerima panggilan menunaikan ibadah haji, Mac lalu.

Dalam usianya yang kini 75 tahun, Parinah Dolah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana impian terbesar dalam hidupnya termakbul.

Wanita yang berasal dari Felda Keratong 4, Muadzam Shah di Rompin, dekat sini itu bakal menunaikan ibadah haji diiringi anak sulungnya, Hamimah Roslan, 56.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Parinah berkata, dia perlu membawa pengiring untuk menunaikan rukun Islam kelima itu berikutan faktor usia walaupun tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

“Awalnya saya merancang ke Tanah Suci bersama suami, namun tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia dua tahun lalu. Syukur tempatnya dapat digantikan dengan anak sulung,” katanya di sini.

Parinah dan anaknya itu antara hampir 2,000 bakal jemaah haji dari Pahang yang akan menunaikan ibadah haji tahun ini.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, dia gembira dan teruja berikutan sudah lama berhasrat untuk berangkat menunaikan haji selepas mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji hampir 15 tahun lalu.

“Allah SWT beri peluang apabila dimaklumkan saya dan anak tersenarai sebagai kumpulan bakal jemaah haji tahun ini. Syukur sangat-sangat dan memang saya sudah tidak sabar untuk menjejak kaki ke sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×