140 penumpang feri dari Langkawi ke Kuala Perlis terkandas - Utusan Malaysia

140 penumpang feri dari Langkawi ke Kuala Perlis terkandas

BOT nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian membantu menunda feri yang terkandas pada jarak 0.9 kilometer dari Terminal Penumpang Kuala Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 140 penumpang feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis terkandas pada jarak kira-kira 0.9 kilometer dari Terminal Penumpang Kuala Perlis dalam kejadian sekitar pukul 7 petang tadi.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, feri itu terkandas selepas dipercayai tersangkut pada tali dan menyebabkan tidak dapat beroperasi dengan sebaiknya.

Baharin berkata, buat masa ini, kerja-kerja bagi menunda feri berkenaan sedang dibantu oleh bot-bot nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Kami masih belum dapat pastikan sama ada feri ini terkandas disebabkan tali oleh pukat nelayan atau pun tali yang dihanyutkan arus laut,” katanya.

Dalam pada itu, Baharin berkata, pihaknya turut kecewa apabila tiada aset-aset agensi kerajaan yang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu menunda feri yang terkandas itu.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan agensi keselamatan kerajaan telah banyak melakukan latihan bersama bagi menyelamat di laut sebagai persediaan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

“Kita dapat lihat tiada langsung aset-aset agensi keselamatan kerajaan yang digerakkan bagi membantu feri terkandas ini.

“Sekiranya sewaktu penganjuran LIMA ‘23 nanti berlaku kejadian feri terkandas seperti ini, adakah penumpang perlu menunggu berjam-jam sedangkan latihan yang diuar-uarkan itu begitu gah namun mana perginya agensi keselamatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya