1.5 tan al-Quran tiada perakuan, rosak dilupus - Utusan Malaysia

1.5 tan al-Quran tiada perakuan, rosak dilupus

SHAMSUL Anuar Nasarah ketika sesi pelupusan abu teks dan bahan al-Quran di perairan Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melupuskan sebanyak 1.5 tan abu al-Quran di perairan berdekatan Pulau Kendi, di sini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, proses pelupusan dijalankan di kedalaman 18 meter di perairan Pulau Kendi, kira-kira 15 batu nautika dari Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban, dekat sini pagi semalam.

Katanya, proses pelupusan berkenaan dilaksanakan mengikut garis panduan pelupusan teks al-Quran yang dikeluarkan KDN menerusi Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ).

Jelas beliau, sebanyak 1.5 tan abu bersamaan 2,750 naskhah al-Quran dikumpulkan menerusi tiga pendekatan iaitu penguatkuasaan, advokasi dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Melalui tindakan pe­nguatkuasaan, pengumpulan teks dan bahan terhasil daripada rampasan al-Quran yang tiada perakuan daripada penjual, pengimport, pengedar di premis-premis jualan, simpanan, pintu-pintu masuk negara dan perniagaan secara dalam talian.

“Menerusi program advokasi antaranya kempen Jom Exchange al-Quran (JEQ) pula, kita kumpulkan al-Quran yang tiada perakuan KDN yang di­serahkan secara sukarela oleh orang ramai dan kita tukarkan dengan al-Quran baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pemuliaan (Pelupusan) al-Quran di sini semalam.

Selain itu, al-Quran yang rosak akibat bencana dan usang yang dikumpulkan menerusi program komuniti turut dilupuskan dalam operasi sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berharap masyarakat akan terus be­kerjasama dan melaksanakan tanggungjawab dengan tidak membeli, menjual, mengedar al-Quran yang tiada perakuan KDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN