Wanita tetap tunggu emak pulang selepas tujuh tahun hilang

Wanita tetap tunggu emak pulang selepas tujuh tahun hilang

HALIMATUL Sa’Diah Zainuddin tidak dapat menahan sebak ketika mengenang emaknya yang hilang tanpa jejak pada tahun 2016 ketika ditemui di Langkap dekat Pasir Salak. - FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Seorang wanita di sini masih mengharapkan kepulangan emaknya yang hilang tujuh tahun lalu iaitu pada puasa kelima tahun 2016.

Emaknya tidak pulang setelah keluar rumah untuk mengambil kain di rumah anaknya dalam kejadian di Kampung Permatang Jambu, Degong Langkap di sini.

Wanita itu, Halimatul Sa’Diah Zainuddin, 66, berkata, kehilangan tanpa khabar berita emaknya tetap dirasai apatah lagi kejadian itu berlaku pada bulan Ramadan 2016.

Katanya, emaknya, Sapiah Mat Dauh, berumur 87 ketika itu, hilang selepas keluar dari rumahnya untuk ke rumah anaknya yang lain.

SAPIAH MAT DAUH

“Sebelum bulan Ramadan lagi, emak sudah berada di rumah saya. Pada puasa hari yang kelima, emak beritahu dia nak keluar rumah untuk ke rumah anaknya yang lain tidak jauh dari rumah saya, katanya dia hendak mengambil kain dan suruh saya jahit untuk sambut raya pada tahun itu.

“Sejak itu emak tak pulang, kami tunggu hingga ke malam, emak tak balik-balik. Saya ke rumah adik bertanyakan mengenai emak, tapi adik saya kata emak tidak datang ke rumahnya pada hari tersebut.

“Kami semua berusaha mencari emak namun tidak berjaya, malah semua agensi dan pasukan mencari dan menyelamat yang mencari emak, gagal menemukan sebarang petunjuk. Sejak hari itu, emak tidak pernah pulang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, ada beberapa individu menghubunginya dan memberitahu ada ternampak emaknya di kebun kelapa sawit menghala ke Langkap.

“Namun kami semua hampa kerana masih tidak menemukan emak,” katanya.

Menurutnya, menjelang Aidilfitri, dia tetap terkenangkan emaknya sambil berharap emaknya akan pulang suatu hari nanti.

Katanya, kehilangan emaknya tidak dapat dilupakan dan mereka masih meneruskan usaha mencari.

“Kami semua ahli keluarga tetap mencari dan menunggu kepulangan emak, kami yakin emak masih ada, jika mati mana mayatnya? Setiap tahun apabila tiba bulan puasa, kami pasti teringat emak. Kami berdoa semoga emak ditemukan. Kami tidak putus berharap agak emak balik pada raya tahun ini, kami semua rindukan emak.

“Sejak kehilangan emak, setiap kali raya kami tidak lagi rasa seronok seperti semasa ada emak. Jika emak masih hidup semoga dibukakan hatinya untuk pulang bersama kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN