Wanita OKU maut terbakar sudah lama terlantar di atas katil - Utusan Malaysia

Wanita OKU maut terbakar sudah lama terlantar di atas katil

KATIL yang dipercayai digunakan oleh Nuraida Hashim juga hampir musnah dalam kebakaran di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang semalam yang mengorbankan wanita OKU berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Wanita orang kurang upaya (OKU) yang terkorban dalam kejadian kebakaran di Kampung Alma di sini, petang semalam dikatakan sudah dua tahun terlantar di atas katil.

Ketidakupayaan itu secara tidak langsung membataskan pergerakan mangsa, Nuraida Hashim, 43, untuk menyelamatkan diri dalam kejadian berkenaan.

Menurut abang ipar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rais, 50-an, ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama ibu dan anak saudaranya.

“Saya dan kakaknya (Nuraida) bagaimanapun berada di luar kawasan iaitu di Kulim, Kedah pada masa itu kerana mempunyai urusan.

“Anak saya (anak saudara mangsa) kemudian memaklumkan dia hanya sempat melarikan diri bersama neneknya yang berusia 80-an manakala ibu saudaranya tidak dapat dibawa keluar kerana api terlalu marak,” katanya.

Tambah Abdul Rais, dia kemudian menghubungi bomba dan polis untuk mendapatkan bantuan lanjut kerana tidak sempat berkejar untuk pulang ke rumah.

Difahamkan, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada litar pintas, namun punca sebenar kejadian masih belum disahkan setakat ini.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen lanjut daripada ahli keluarga mangsa atau jiran terdekat gagal buat masa ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang semalam, Nuraida dikategorikan mengalami masalah ketidakupayaan mental dikatakan berada di atas katil sebuah bilik di dalam rumahnya ketika kebakaran berlaku.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat ketika kejadian, namun pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital kemudian mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.