Wanita curi kad ATM ibu saudara guna RM8,200 beli iPhone

Wanita curi kad ATM ahli keluarga guna RM8,200 beli iPhone

NOOR DELLHAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita di Pandan Perdana, dekat sini, awal pagi tadi kerana disyaki mencuri RM8,200 dari akaun bank ahli keluarganya untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 14 Pro.

Penahanan wanita itu dilakukan di sebuah premis di Pandan Perdana pukul 12.25 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, perbuatan wanita itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan pada 25 Mac lalu.

Kata beliau, siasatan mendapati pengeluaran itu dilakukan bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

“Polis turut menemukan kad ATM milik mangsa dan merampas telefon pintar dipercayai dibeli menggunakan wang yang dicuri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, kejadian itu didedahkan oleh mangsa menerusi satu hantaran Facebook menyatakan bahawa suspek mencuri kad ATM berkenaan semasa menumpang tidur di rumahnya.

Dalam hantaran itu, mangsa meluahkan perasaan terkilan apabila layanan baik untuk membantu suspek dibalas dengan cara sedemikian lebih-lebih lagi ia berlaku pada minggu pertama Ramadan.

Katanya, dia terkejut apabila akaunnya hanya berbaki RM500 menyebabkan mangsa tidak mampu membayar semua komitmen bulanan termasuk sewa rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN