Wan Maimunah akui terlalu kecewa ditawar RM200 bagi telefilem

Wan Maimunah akui terlalu kecewa ditawar RM200 bagi telefilem

WAN MAIMUNAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon berkaliber, Wan Maimunah, 65, me­ngaku terlalu kecewa dengan segelintir syarikat produksi yang sering mendiskriminasi pelakon-pelakon lama dengan memberikan bayaran terlalu ren­dah.

Disebabkan diskriminasi ter­sebut, katanya, dia lebih sanggup menerima tawaran daripada syarikat produksi baharu kerana bayaran yang ditawarkan jauh lebih baik berbanding syarikat produksi yang sudah lama ditubuhkan.

“Sebab itu saya lebih rela berlakon filem pendek dengan budak-budak baharu yang jujur dan berterus-terang dengan bajet yang mereka ada.

“Kadang-kadang syarikat produksi lama ini bagi alasan stesen televisyen pilih pelakon dan kononnya penonton tak nak tonton lagi artis-artis lama. Sudahlah, saya sudah cukup penat dengan isu ini,” luahnya.

Pelakon yang terkenal dengan jolokan ratu air mata ini turut berkongsikan pengalaman ditawarkan sebanyak RM200 bagi menjayakan sebuah telefilem yang diterbitkan oleh sebuah sya­rikat produksi swasta di negara ini.

Jelasnya, tawaran tersebut seolah-olah merendahkan bakat lakonannya yang sudah menja­yakan puluhan naskhah sejak zaman awal pembabitan berlakon pada 1972.

“Benda ini sudah lama berlaku, puluhan tahun masalah sama berulang. Selalunya bukan salah syarikat produksi tetapi pengurus produksi yang ‘mencaras’ soal bayaran.

“Telefilem itu tahun lepas sehingga menyebabkan saya bukan setakat kecewa, tetapi hati ini sudah hancur luluh. Ibarat kaca sudah pecah, bila dicantumkan retaknya masih kelihatan,” katanya.

Pelakon telefilem Quran Buruk ini memberitahu, dia juga hanya mengambil tawaran berlakon dengan pengarah yang paling dipercayai dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sepanjang bekerjasama.

“Drama paling terkini pun saya buat dengan Rashid Sibir atas dasar percaya ketika bekerja. Sebab saya sudah bekerjasama sejak zaman dia baru bergraduasi dari universiti puluhan tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN