Wakil rakyat kerajaan syor Sivakumar bercuti 

Wakil rakyat kerajaan syor Sivakumar bercuti 

V. SIVAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen kerajaan berpandangan, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar perlu bercuti sebagai anggota Kabinet berhubung siasatan membabitkan beberapa pegawainya ekoran dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkatq, sebagai seorang menteri mendukung agenda Pakatan Harapan (PH) untuk mengekang rasuah di Malaysia, beliau wajar menunjukkan contoh yang positif dengan sekurang-kurangnya bercuti daripada tugas sebagai menteri sehingga penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Katanya, Sivakumar tentu lebih faham tentang prinsip tanggungjawab bersama dan tugas sebagai seorang menteri di dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau Kabinet kerajaan Persekutuan. 

“Jangan tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletak jawatan.

“Setiap menteri mesti ada tanggungjawab sendiri untuk menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang amat jelas sedang melakukan tindakan untuk membanteras amalan rasuah di dalam jentera kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Sivakumar disiasat SPRM berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak-kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Ahli Parlimen DAP itu dipanggil membantu siasatan susulan siasatan SPRM terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.

HASSAN ABDUL KARIM

Jelas Hassan, jangan kerana ‘nila setitik rosak susu sebelanga’ ekoran dakwaan terpalit itu dan boleh menjejaskan usaha Anwar menangani amalan rasuah di negara ini.

“Setakat ini Menteri Sumber Manusia bukannya suspek, bukannya orang yang dituduh. Tetapi fakta dua kali dipanggil untuk disiasat oleh SPRM dan rumah serta pejabat dilawati oleh SPRM bukanlah sesuatu yang molek bagi wajah anggota Kabinet kerajaan yang dikenali sekarang sebagai Kerajaan Madani.

“Saya percaya Sivakumar mempunyai jiwa yang besar dan punya conscience yang jernih dan mulia. Sebagai seorang ahli Parlimen dan pemimpin politik yang berpengalaman adalah terhormat bagi beliau mengambil tindakan yang tepat. Saya tidak mendesak atau menyeru beliau meletakkan jawatan sekarang. 

“Sekurang-kurangnya eloklah pada waktu ini beliau bercuti dahulu daripada tugas sebagai seorang menteri,” gesa beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya