UMNO Selangor mula langkah pertama pengukuhan parti

UMNO Selangor mula langkah pertama pengukuhan parti

UMNO Selangor
MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: UMNO Selangor memulakan langkah pertama pengukuhan parti peringkat negeri dengan memastikan solidariti pimpinan dan anggota secara keseluruhan serta melenyapkan kewujudan kem-kem yang menyebabkan perpecahan seperti sebelum ini.

Pengerusi Ba­dan Perhubu­ngan UMNO Se­langor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pengukuhan tersebut adalah penting untuk memastikan parti benar-benar bersedia berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada pertengahan tahun ini.

Menurutnya, ketika ini pimpinan dan anggota perlu melupakan soal pemilihan dan menggesa semua pihak mene­rima keputusan dibuat perwakilan sepanjang proses tersebut berlaku pada Mac lalu.

“Saya tidak akan melayan sebarang perkara berbangkit dan remeh, kerana pada saya fokus adalah kepada PRN dan pengukuhan parti. Tak guna kita menang dengan bergaya di bahagian, tetapi akhirnya tak boleh menyumbang kepada kemenangan BN di PRN.

“Ketepikan sebarang hie­rarki dan kem-kem pun tolak tepi, yang penting persediaan PRN. Kita mesti disiplin untuk memasuki peperangan. Kalau tidak, first round, you sudah kalah,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa badan perhubungan itu, kelmarin.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Gombak itu mengumumkan barisan jawatankuasa badan perhubungan yang baharu susulan selesai pemilihan parti pada 18 Mac lalu.

Pembentukan jawatankuasa itu menyaksikan Datuk Johan Abdul Aziz, Datuk Abd. Mutalif Abd. Rahim, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain dan Zainal Adzam kekal sebagai timbalan pengerusi, setiausaha, ketua penera­ngan dan setiausaha kerja badan perhubungan.

Sementara muka baharu se­perti Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dilantik sebagai bendahari menggantikan Datuk Kamaruzzaman Johari, Ketua Wanita, Datuk Halimaton Saadiah Bohan; Ketua Pemuda Datuk Mohd. Imran Tamrin dan Ketua Puteri, Siti Nurul Diayana Mat Sehat

Dalam pada itu, Megat turut melantik pimpinan sekretariat, jabatan dan majlis kepada UMNO Malaysia yang juga me­rupakan sebahagian daripada langkah pengukuhan parti pe­ringkat negeri.

“Saya menubuh dan melantik semua pengarah dan pengerusi mengikut sekretariat, jabatan dan juga majlis yang diwujudkan di peringkat UMNO Malaysia.

“Semua juga saya sudah nama­kan tadi pengerusi dan ketua jabatan, segala majlis, sekretariat dan jabatan ini mesti beroperasi segera. Maknanya mereka mesti segera fikirkan hendak menubuhkan jawatankuasa di peringkat majlis, sekretariat dan jabatan masing-masing,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN