DUNGUN: Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh isterinya pada 5 April lalu.
Mohd. Amir Hamzah, 32, yang memakai baju lokap berwarna ungu mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Noradila Ab. Latif, namuntiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian isterinya, Rubiah Sabtu, 41.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi dekat sini antara pukul 7.30 hingga 8 pagi dan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mengemukakan laporan kimia. Bagaimanapun, tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Akhbar sebelum ini melaporkan suspek dipercayai memukul Rubiah dengan tukul besi sehingga maut di kediaman mereka.
Mangsa yang berniaga kedai runcit cedera parah di bahagian muka meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan awal polis, sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut yang baru mendirikan rumah tangga setahun lalu.
Mangsa mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu dan berkahwin dengan suspek tahun lepas serta mempunyai seorang anak bayi berusia tiga bulan. – UTUSAN










