Tiada lagi ‘ribut’ dalam UMNO Perlis

Tiada lagi ‘ribut’ dalam UMNO Perlis

ROZABIL Abd. Rahman dalam sidang akhbar di The Bunker Cafe, Batas Liku, Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO Perlis yakin tiada lagi ‘ribut’ atau ‘taufan’ berlaku dalam kepemimpinan parti itu berikutan kesepakatan yang dicapai antara teraju baharu di peringkat negeri dan bahagiannya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, kepemimpinan baharu di peringkat negeri dan tiga bahagian tersebut telah bersepakat mewujudkan perpaduan dan kerjasama yang baik dalam kalangan mereka.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, UMNO di tiga bahagian itu harus berada di dalam satu pasukan yang kuat jika berhasrat kembali menawan negeri ini dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Tiga bahagian telah setuju tidak mahu lagi berlaku persaingan sesama bahagian dan menjalinkan kerjasama yang erat. Saya percaya kerjasama yang erat dan semangat perpaduan ini dapat kita jalankan.

“Kita mempunyai keyakinan cukup tinggi untuk bekerjasama dalam kalangan kami (tiga bahagian). Kita juga sudah beri komitmen kepada presiden parti bahawa UMNO Perlis tidak akan jadi seperti ‘30 bahagian’ lagi.

“Dahulu orang selalu sindir Perlis yang mempunyai tiga bahagian seolah-olah seperti 30 bahagian kerana selalu bergaduh. Insya-Allah kami akan bekerja dalam satu pasukan untuk pastikan kita bekerja dengan lebih kuat, erat dan berusaha merampas Perlis kembali kepada Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui pada majlis moreh bersama media di The Bunker Cafe, Batas Liku, di sini semalam.

Menurut Rozabil, ketiga-tiga ketua UMNO bahagian yang baharu ini mampu menjalinkan kerjasama dengan baik.

“Saya sudah kenal Ruzaini Rais (Ketua UMNO Bahagian Padang Besar) sudah lama manakala Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya (Ketua UMNO Bahagian Kangar) seorang yang sangat rasional. Kita sudah banyak kali berbincang dan capai kata sepakat yang kalau kita hendak tawan balik Perlis dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat, ketiga-tiga kami harus berada dalam satu pasukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozabil berkata, UMNO Perlis akan membantu UMNO Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sementara itu, beliau berkata, pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri ini tidak lagi akan hanya dipilih dalam kalangan ketua cawangan namun turut melibat kelompok lain.

Bagi tujuan itu, katanya, Badan Perhubungan UMNO negeri akan memilih lebih ramai calon pengerusi JPKKP dalam kalangan pemuda, wanita dan ketua masyarakat yang dekat dan disenangi dalam kalangan rakyat di sesuatu kawasan.

“Kali ini UMNO negeri tidak lagi akan menggunakan pendekatan seperti dahulu di mana ketua cawangan akan dilantik bagi memegang jawatan pengerusi JPKKP.

“Perkara ini diputuskan menerusi mesyuarat perhubungan lalu di mana kita bersetuju yang pelantikan jawatan itu bukan hanya diambil kira berdasarkan calon yang memegang jawatan ketua cawangan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×