GABUNGAN Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor berdepan cabaran untuk mencapai persetujuan bersama apabila proses ‘tawar-menawar’ memungkinkan wujud jawatan Timbalan Menteri Besar di negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Keadaan itu mencetuskan spekulasi pendirian sebenar kedua-dua blok parti gabungan itu di negeri terkaya di negara ini selepas muncul dakwaan mengatakan toleransi PH tidak mahu sampai menyerahkan Selangor kepada UMNO.
Lebih merumitkan apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disebut-sebut sebagai ‘poster boy’ atau orang yang akan menduduki kerusi Menteri Besar tanpa mengira berapa banyak kawasan dimenangi BN.
Justeru, kewujudan tawaran jawatan Timbalan Menteri Besar menguatkan lagi naratif tersebut, malah terdapat ‘cakap-cakap’ seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Kota Raja sanggup menyerahkan kawasannya kepada menteri berkenaan.
Bagaimanapun, sebahagian pemimpin UMNO di negeri ini mengambil sikap ‘menampan’ kepada naratif tersebut apabila menyifatkan tawaran itu sebagai yang terbaik dibuat oleh PH dan dalam masa sama menyatakan laluan berkenaan bukan cara untuk kembali kuasai Selangor.
Tawaran-tawaran tersebut didakwa diperolehi menerusi dua rundingan pertama antara BN dan PH dalam membentuk persetujuan peringkat dasar sebelum perbincangan pembahagian kerusi dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri.
UMNO dikatakan bakal meminta 15 kerusi yang mempunyai ciri-ciri pengundi Melayu ramai, jumlah pengundi signifikan (berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)) dan sentimen lain seperti kubu kuat, pernah menang dan sebagainya.
Namun, jumlah tersebut belum dimuktamadkan kerana UMNO belum memperoleh resolusi daripada komponen BN lain, MCA dan MIC serta Friends of BN.
Permintaan tersebut juga mungkin berdepan kesukaran kerana perlu mendapatkan persetujuan dengan komponen PH lain seperti Amanah dan DAP. Ini kerana, jika belasan kerusi diminta, pasti ada yang kena korbankan kawasan mereka.
Bukan setakat itu, mereka juga perlu mengorbankan kehendak sendiri sebagai contoh, Amanah yang berhasrat mahu menentang Pas – Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti untuk merebut kawasan pernah dimenangi komponen PN itu menerusi siri pilihan raya sebelum ini.
Justeru, UMNO dianggap sebagai pesaing kepada mereka.
Berdasarkan situasi-situasi sedemikian, adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membuat penyesuaian dalam kabinetnya untuk menempatkan Naib Presiden PKR yang menjadi Menteri Besar ketika ini?
Berdasarkan komposisi semasa BN-PH dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, PH dan komponennya mempunyai 41 kerusi (PKR-19, DAP-16, Amanah-6), sementara BN pula mempunyai lima kerusi milik UMNO. – UTUSAN










