KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa lagi runtuhan kecil berlaku malam tadi di lokasi tanah runtuh depan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisoner Beh Eng Lai berkata, runtuhan berkenaan berlaku lagi kira-kira pukul 10 malam tadi.
“Ya, runtuhan tanah berlaku lagi malam tadi dan itu hanya runtuhan sedikit demi sedikit serta tidak begitu ketara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pagi ini.
Beliau berkata, operasi penyiasatan masih diteruskan oleh agensi penguat kuasa dan polis di lokasi runtuhan bermula awal pagi tadi yang terdiri daripada pasukan teknikal Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Katanya, setakat ini tempat runtuhan tanah itu telah ditutup dengan kanvas sejak semalam.
“Namun, kita melihat dan mendapati masih berlaku runtuhan dan hakisan tanah di tempat runtuhan itu. Jadi setakat menutup dengan kanvas mungkin tidak dapat mengurangkan risiko bahaya yang ada di lokasi.
“Kita sedang bincang untuk memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Akademi SPRM daripada terus terjejas akibat risiko hakisan tanah runtuh ini yangt terjadi sejak semalam,” ujar beliau.

KEJADIAN tanah runtuh di hadapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. – IHSAN BOMBA
Ditanya bila penanaman cerucuk tanam akan dilaksanakan, Eng Lai bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya akan berbincang bersama dalam mesyuarat pada pukul 3 petang ini untuk mempertimbang penanaman cerucuk besi sebagai penyelesaian segera.
“Bagaimanapun, perkara ini (tanah runtuh) serius dan akan diambil tindakan segera. Dalam pada itu kita juga akan membincangkan untuk mengenal pasti punca sebenar yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh itu.
“Setakat siasatan awal semalam di lokasi mendapati paip pecah salah satu punca yang ditemukan mengakibatkan berlaku kejadian runtuhan itu. dan kedua adalah berlaku takungan air akibat pemendapan tanah yang turut terjadi di situ,” jelasnya.
Tambah beliau, setakat ini kedua-dua bangunan itu ditutup untuk operasi sehingga arahan lanjut dan satu sidang media mengenai hasil mesyuarat akan dibuat pada pukul 5.30 petang ini,” tegasnya. – UTUSAN