Tak selesa kendali akaun 1MDB, tertekan - Saksi

Tak selesa kendali akaun 1MDB, tertekan – Saksi

KEVIN Michael Swampillai hadir bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank di Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau merasa tidak selesa untuk mengendalikan akaun berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak pembukaan akaun bank syarikat itu di BSI Bank Ltd., Singapura.

Selain itu, saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai berkata, kakitangan di bank berkenaan sentiasa diletakkan dalam keadaan tertekan apabila menguruskan transaksi keluar masuk dana 1MDB.

“Ketidakselesaan saya dalam mengendalikan akaun 1MDB adalah sejak hari pertama lagi. Ia tidak tertumpu kepada transaksi membabitkan 1MDB GIL (anak syarikat 1MDB) sahaja tetapi semua transaksi membabitkan 1MDB. Kesemua transaksi itu agak mencurigakan.

“Pekerja kami sering diletakkan bawah tekanan yang tinggi oleh pelanggan (1MDB) untuk mempercepatkan proses pemindahan dana ke akaun dana fidusiari sebelum dipindahkan semula ke akaun syarikat terpilih.

“Kami juga sering diingatkan bahawa kami sedang mengendalikan transaksi membabitkan dana kekayaan negara yang sangat penting dan sensitif serta mempunyai kekangan masa yang ketat. Sebarang tindakan sambil lewa tidak akan dipandang ringan,” kata saksi itu.

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu bersetuju dengan cadangan bahawa tekanan itu berpunca daripada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho.

Kevin berkata demikian dalam perbicaraan kes Najib, 70, yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bank BSI merupakan anak syarikat milik penuh BSI SA, sebuah bank yang diasaskan pada 1873 dan beribu pejabat di Switzerland dan menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan swasta termasuk kemudahan dana fidusiari.

Bank tersebut mula disebut dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. membabitkan Najib ekoran ‘tugasnya’ memindahkan dana syarikat-syarikat terbabit dalam jumlah yang besar ke luar negara.

Selain 1MDB dan SRC International, turut menjadi pelanggan bank berkenaan ialah anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) serta Brazen Sky Ltd dan Aabar BVI yang dikatakan dimiliki dan dikawal oleh Jho Low.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 8 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN