SK Perigi Acheh dalam proses bina semula - Utusan Malaysia

SK Perigi Acheh dalam proses bina semula

FADHLINA Sidek (tengah) beramah-mesra bersama anak-anak yatim ketika menghadiri program Jerayawara Pendidikan Madani di Perai, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAI: Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh di Pasir Gudang, Johor Bahru yang ditutup disebabkan bangunan kayunya sudah usang dan dikategorikan tidak selamat kini dalam proses pembinaan semula.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, projek berkenaan masih di peringkat awalan dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Projek terbabit menerusi Rolling Plan (RP) 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan setakat ini, kita akan ‘clear’ kan tapak yang tidak selamat untuk memulakan proses pembinaan baharu termasuk meletakkan kabin.

“Kabin akan dipasang untuk melancarkan proses persekolahan dan pembelajaran anak-anak buat sementara waktu sepanjang proses pembinaan berlaku sehingga selesai.

“Berapa lama masa yang akan diambil untuk siap, kita ada ‘timeline’ untuk itu, tetapi apa yang menjadi keutamaan ialah keselamatan murid-murid di situ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jerayawara Pendidikan Madani yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penutupan sekolah berkenaan yang menyebabkan 120 muridnya terpaksa berpindah sementara ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Langsat dan menempuh perjalanan kira-kira 20 kilometer untuk pergi dan balik dari sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, jerayawara tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim di antara murid, guru dan komuniti KPM selain mengumpul maklum balas berhubung sebarang manfaat atau kembimbangan yang berkait rapat dengan sistem pendidikan terkini.

Katanya, program itu dilaksanakan dengan rakan strategik iaitu Syarikat Payment Network Malaysia (PayNet).

“PayNet juga telah menyampaikan peruntukan berjumlah RM750,000 kepada Yayasan Didik Negara (YDN) untuk melaksanakan Program Tanpa Tunai di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara.

“Sebanyak RM250,000 telah disalurkan kepada YDN untuk program rintis di 10 IPG terpilih dan RM500,000 akan ditambah untuk memperluaskan program ini ke 17 IPG lain di seluruh negara,” katanya.

Tambah beliau, program yang memberi manfaat kepada lebih 113,000 warga IPG itu seiring dengan usaha kerajaan dalam memacu penggunaan perkhidmatan kewangan digital. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya