PETALING JAYA: Semua pihak diminta menghormati privasi penyanyi, Shila Amzah lebih-lebih lagi melibatkan masalah dalaman yang melanda ahli keluarganya.
Pengurus Global Greyscale Australia yang mewakili penyanyi itu, Darren Kong berkata, pihak pengurusan Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah juga tidak akan mengeluarkan sebarang komen berhubung kemelut tersebut kerana bukan berada di bawah bidang kuasa mereka.
“Saya percaya sokongan paling ampuh yang dapat diberikan pada masa ini adalah dengan memberikan ruang dan masa kepada ahli keluarganya menyelesaikan masalah dan cabaran yang dihadapi mereka.
“Shila adalah seorang ibu yang kuat dan mahu menjadi contoh terbaik kepada anak lelakinya, Seth serta memastikan keseimbangan dan kualiti kerja,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam Instagram Shila.
Darren berkata, Shila akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap konsert jelajah dunia yang sudah dirancang sepanjang tahun ini.
“Pihak kami akan sentiasa memberikan sokongan padu dan berharap masalah yang melanda Shila serta keluarganya dapat diselesaikan ketika masa yang sangat mencabar ini,” katanya.
Semalam, isteri kepada penyanyi Datuk ND Lala, Datin Fauziah Sarman dipercayai memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi.
Tindakan tersebut dibuat selepas suaminya berkahwin dengan seorang wanita yang merupakan rakan sekolah Shila, baru-baru ini.-UTUSAN