Selangor perlu banyak sekolah baharu

Selangor perlu banyak sekolah baharu

AMIRUDIN Shari melihat operasi Pusat Sehenti PTGS dekat Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor memerlukan lebih banyak sekolah baharu dibina di negeri ini ekoran pertambahan penduduk dan unjuran menunjukkan trend peningkatan pada setiap tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menyedari perkara itu dan telah memperuntukkan lima tapak untuk pembinaan sekolah baharu tetapi sehingga kini belum ada yang dibina di lokasi berkenaan.

“Kota Kemuning, Klang, Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa dan Hulu Langat antara kawasan yang amat memerlukan sekolah baharu dibina disebabkan penduduk di semua kawasan tersebut yang semakin ramai.

“Malah, kerajaan negeri menyediakan beberapa tapak bagi tujuan pembinaan sekolah sejak beberapa tahun lalu,” katanya selepas majlis perasmian Pusat Setempat (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Hari Tanpa Tunai bagi Pentadbiran Tanah Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, semalam.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan rintihan sebahagian penduduk Kota Kemuning, di sini, yang meminta Kerajaan Pusat membina sebuah lagi sekolah menengah di kawasan tersebut.

Timbalan Presiden Penduduk Kota Kemuning (PPKK) A. Rajan berkata, keperluan bagi membina sekolah menengah baharu itu berdasarkan jumlah murid peringkat menengah yang tinggal di Kota Kemuning semakin ramai.

Amirudin berkata, akibat kekurangan sekolah itu, ada penduduk yang terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah di luar Shah Alam kerana sekolah yang berdekatan rumah mereka sudah pun penuh.

“Kita sedia maklum Kementerian Pendidikan kini sedang fokus memperbaiki sekolah daif yang mereka letakkan sebagai urusan utama dalam Belanjawan 2023. Namun, saya sebelum ini telah berjumpa dengan kementerian untuk memaklumkan Selangor memerlukan lebih banyak sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN