Sedia beri kerjasama SPRM dakwaan belanja berlebihan subsidi minyak masak - Utusan Malaysia

Sedia beri kerjasama SPRM dakwaan belanja berlebihan subsidi minyak masak

AZMAN Mohd. Yusof (kiri) ketika tinjauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar raya Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan kementerian itu terlebih belanja untuk subsidi minyak masak tahun lepas.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat dan sedia dipanggil memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.

“Pada tahun lepas, saya telah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi kes tersebut. Kehadiran itu bukan untuk siasatan tapi menjelaskan kepada SPRM proses pengagihan minyak masak bersubsidi.

“Dalam bidang minyak masak bersubsidi ini, (akan) ada pihak yang puas hati dan ada yang tidak berpuas hati. Mungkin ada aduan (kepada SPRM) dan mereka akan panggil untuk diambil keterangan.

“Sehingga hari ini, perkara itu tidak lagi berbangkit setelah penjelasan yang tepat diberikan kepada SPRM tentang proses yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa KPDN Bersama Media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kerajaan berbelanja berlebihan untuk subsidi minyak masak tahun lalu di mana Azman dikatakan meluluskan subsidi berjumlah kira-kira RM9 juta kepada lebih 20 syarikat walaupun kuota itu telah digunakan.

Terdahulu dalam sidang akhbar selepas tinjauan mesra Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar raya di sini, Azman menjelaskan pembayaran lebihan RM9 juta subsidi minyak masak tidak pernah berlaku seperti didakwa portal berita berkenaan.

Katanya, bayaran subsidi tersebut dibuat di bawah daripada jumlah sebenar mengikut kuota 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi yang ditetapkan.

Jelas beliau, pihaknya memantau operasi edaran minyak masak bersubsidi di pasaran sebelum bayaran subsidi dibuat.

“Kita kawal dari segi pembayaran subsidi ini. Berdasarkan prestasi tahun lepas, (pembayaran) tidak melepasi langsung nilai 60,000 tan metrik. Jadi tidak berlaku (dakwaan) mengatakan kita membayar lebih seperti mana dinyatakan.

“Kita harus lihat bahawa di antara pemikiran teori dengan praktikal adalah satu yang berbeza. Praktikal berbeza sikit pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya