SHAH ALAM: Lebih 10 tahun penduduk dekat Kota Kemuning di sini terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah menengah di kawasan lain selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning (SMKKK) berdepan isu kepadatan pelajar sehingga 3,000 orang untuk sesi pagi dan petang.
Namun sejak masalah tersebut disuarakan 10 tahun lalu, tiada khabar gembira bagi mereka walaupun pada Januari 2018 Kementerian Pendidikan (KPM), Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan sebuah syarikat swasta menandatangani perjanjian membina sekolah menengah baharu.
Menurut Ketua Jawatankuasa Kerja Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning 2 (SMKKK2) , Kuan Chee Keong, persetujuan tersebut merangkumi pematuhan syarat daripada syarikat berkenaan yang mahu pemilikan sebidang tanah di Kota Damansara sebagai ganti.
Malah katanya, majlis pecah tanah lokasi sekolah tersebut bakal dibina turut diadakan pada Mac 2018 oleh pihak KPM dan syarikat terlibat.
“Yang terbaharu, kami memberitahu hal ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning yang juga Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau dan beliau telah menyuarakan perkara ini kepada Menteri Pendidikan dalam Dewan Rakyat.
“Namun difahamkan KPM memaklumkan pembinaan SMKKK2 tak dapat dibuat atas sebab isu perundangan yang tidak mereka rungkaikan (kepada kami),” katanya dalam sidang akhbar berhubung isu itu.
Jelasnya, KPM perlu memberikan jawapan berhubung status rancangan pembinaan SMKKK2 memandangkan majoriti penduduk di Kota Kemuning amat menantikannya.
“Pada 2018, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menghantar surat kepada syarikat tersebut bahawa projek pembinaan SMKKK2 tak dapat diteruskan.
“Mengetahui perkara itu, pada Disember 2018, KPM mengutus surat kepada UKAS supaya unit tersebut membenarkan projek pembinaan sekolah itu dapat diteruskan tetapi kami difahamkan sehingga ke hari ini, pihak UKAS tidak memberikan jawapan,” jelasnya.
Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Kota Kemuning (PPKK), A. Rajan memberitahu, penduduk sudah terlalu lama menunggu sekolah baharu bagi menampung pertambahan jumlah pelajar menengah.
“SMKKK dibina untuk kapasiti 1,500 murid sedangkan kajian pada 2011 mendapati, jumlah murid sekolah rendah di sini lebih 3,000 orang.
“Sekarang dengan pertambahan kawasan perumahan berdekatan, saya rasa jumlah murid menengah sudah meningkat, daripada kajian yang kami jalankan,” jelasnya. – UTUSAN