Sedekad penduduk tunggu sekolah baharu - Utusan Malaysia

Sedekad penduduk tunggu sekolah baharu

Sekolah
KUAN Chee Keong (duduk, dua kiri) bersama beberapa penduduk ketika sidang akhbar permohonan bina SMKKK2 dekat Kota Kemuning, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 10 tahun penduduk dekat Kota Kemuning di sini, terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah menengah di kawasan lain selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning (SMKKK) berdepan isu kepadatan pelajar sehingga 3,000 orang untuk sesi pagi dan petang.

Bagaimanapun, sejak masalah tersebut disuarakan sejak 10 tahun lalu, tiada khabar gembira bagi mereka walaupun pada Januari 2018 Kementerian Pendidikan (KPM), Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan sebuah syarikat swasta menandatangani perjanjian yang mana syarikat tersebut akan membina sekolah menengah baharu.

Menurut Ketua Jawatankuasa Kerja Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning 2 (SMKKK2) , Kuan Chee Kheong, persetujuan tersebut merangkumi pematuhan syarat daripada syarikat berkenaan yang mahu pemilikan sebidang tanah di Kota Damansara sebagai ganti.

Malah katanya, majlis pecah tanah lokasi sekolah tersebut bakal dibina turut diadakan pada Mac 2018 oleh pihak KPM dan syarikat terlibat.

“Yang terbaru, kami memberitahu hal ini kepada ADUN Kota Kemuning yang juga ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau dan beliau telah menyuarakan perkara ini kepada Menteri Pendidikan dalam sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Namun difahamkan KPM memaklumkan pembinaan SMKKK2 tak dapat dibuat atas sebab isu perundangan yang tidak mereka rungkaikan (kepada kami),” katanya dalam sidang akhbar berhubung isu itu.

Beliau menambah, pihaknya sudah pun membuat rayuan dengan ramai ahli politik termasuk wakil rakyat yang menjadi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut supaya itu sekolah tersebut segera dibina.

Justeru, Chee Keong menggesa KPM untuk memberikan jawapan berhubung status rancangan pembinaan SMKKK2 memandangkan majoriti penduduk di Kota Kemuning amat menantinya.

“Bagaimanapun, pada tahun 2018, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menghantar surat kepada syarikat tersebut bahawa projek pembinaan SMKKK2 tidak dapat diteruskan.

“Mengetahui perkara itu, pada Disember 2018, KPM mengutus surat kepada UKAS supaya unit tersebut membenarkan projek pembinaan sekolah itu dapat diteruskan tetapi kami difahamkan sehingga ke hari ini, pihak UKAS tidak memberikan jawapan berhubung permintaan yang dibuat KPM,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Kota Kemuning (PPKK), A. Rajan memberitahu, penduduk di sana sudah terlalu lama menunggu sekolah baharu dibina bagi menampung pertambahan jumlah murid peringkat menengah yang semakin ramai di kawasan perumahan itu.

“SMKKK yang dibina untuk kapasiti 1,500 murid dalam satu-satu waktu sedangkan kajian yang dijalankan jawatankuasa ini pada 2011 mendapati, jumlah murid sekolah rendah di sini adalah lebih 3,000 murid.

“Sekarang dengan pertambahan kawasan perumahan berdekatan Kota Kemuning ini, saya rasa jumlah murid menengah sudah meningkat, daripada kajian yang kami jalankan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya