Saman Fitnah: Zahid, Tun M berbincang cari penyelesaian - Utusan Malaysia

Saman Fitnah: Zahid, Tun M berbincang cari penyelesaian

mahathir
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan duduk bertemu empat mata untuk mencari jalan penyelesaian dalam dua kes saman mereka melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid sewaktu dihubungi media selepas tamat prosiding pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding dijalankan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris yang turut disertai peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr. Mahathir.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 14 Julai 2023 secara dalam talian untuk mengetahui status mediasi itu,” kata Shahrul Fazli.

Sementara itu, Mior ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Arahan Mahkamah adalah untuk pihak-pihak berbincang untuk kedua-dua kes tersebut. Jika tidak (ada penyelesaian), kes akan diteruskan untuk perbicaraan seperti yang telah ditetapkan sebelum ini,” kata Mior.

Pada 20 April 2022, Ahmad Zahid memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Mahathir atas dakwaan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu telah memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (PEJUANG) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Kata Ahmad Zahid, Dr. Mahathir memfitnah bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Kes ini ditetapkan untuk perbicaraan bermula 6 hingga 9 November ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid pada 20 Julai 2022 berhubung isu `Kutty’.

Bekas Pengerusi Bersatu itu mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada dirinya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Ahmad Zahid didakwa berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci masyarakat sehingga menyebabkan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Kes ini ditetapkan untuk perbicaraan selama empat hari bermula 11 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN