SADA sediakan 44 tangki statik bantu masalah air di Langkawi - Utusan Malaysia

SADA sediakan 44 tangki statik bantu masalah air di Langkawi

TANGKI air statik yang disediakan SADA di kawasan penempatan penduduk yang terjejas bekalan air di Taman Dayang, Langkawi. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyediakan 44 tangki statik bagi membantu mengatasi masalah bekalan air yang melanda sebahagian pe­nempatan penduduk di pulau pelancongan ini.

Dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia SADA memaklumkan, lima lori tangki air turut digerakkan ke kawasan-kawasan yang mengalami gangguan tersebut.

“Bagi mengurangkan beban pengguna, SADA melaksanakan penghantaran lori tangki air secara berjadual selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 54(3), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Aka 655) iaitu SADA bertanggungjawab memastikan kelangsungan bekalan air te­rawat kepada pengguna.

“SADA sedang giat menjalankan pengepaman ke kolam-kolam utama bagi mengatasi masalah ini termasuk membuat pensektoran semula agihan air,” katanya di sini semalam.

Akhbar ini melaporkan penduduk di sebahagian pulau pe­ranginan ini keluh kesah sehingga ada yang menumpang mandi di pejabat atau kawasan lain sejak tiga hari lalu.

Ini berikutan, tinjauan di beberapa kawasan mendapati, rata-rata penduduk mengalami masalah itu sejak 30 Mac apabila notis kecemasan gangguan bekalan air dikeluarkan SADA.

Dalam pada itu, SADA memaklumkan, satu injap bersaiz 500 milimeter (mm) telah mengalami kegagalan berfungsi pada Khamis lalu yang melibatkan dua tangki servis iaitu Tangki Dundong dan Tangki Kuah.

Kegagalan itu menyebabkan kira-kira 3,013 daripada 31,600 akaun terjejas di Langkawi yang melibatkan pengguna di kawasan Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Bukit Tekuh dan sekitarnya.

Pihak SADA telah mengambil tindakan segera untuk menggantikan injap tersebut dan kerja pembaikan telah siap dilakukan pada pukul 7 pagi Jumaat lalu, bekalan air dibekalkan semula secara berperingkat sebaik sahaja kerja tersebut disiapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN