Sabah terbuka terima hasil laporan tragedi Double Six

Sabah terbuka terima hasil laporan tragedi ‘Double Six’

MOHD AZIS JAMMAN dan HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menerima apa juga hasil laporan tragedi ‘Double Six’ dengan hati yang terbuka.

Demikian kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa laporan akhir tragedi ‘Double Six’ akan dihebahkan melalui kenyataan rasmi kerajaan.

Hajiii berkata, keputusan Kabinet Persekutuan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) laporan akhir tragedi Double Six yang mengorbankan 11 orang termasuk Ketua Menteri pada era Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), Tun Fuad Stephens pada 1976 melegakan rakyat Sabah.

“Ini sesuatu yang melegakan kerana pendedahkan akan dibuat mengenai apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian.

“Ia bukan hanya memberi kelegaan kepada keluarga yang terlibat tetapi juga seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan Kabinet Persekutuan untuk membenarkan pendedahan laporan yang selama ini tidak didedahkan kepada umum selama 47 tahun.

Hari ini, Perdana Menteri mengumumkan laporan akhir siasatan kemalangan dalam tragedi Double Six akan dihebahkan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan pada minggu depan manakala, kenyataan awal boleh diedarkan pada sehari dua ini.

Anwar berkata, selama ini kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) sebagaimana peruntukan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Namun, pada hari ini, jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan tuntutan dibuat keluarga dan waris yang mahu maklumat terperinci selari dengan dasar keterbukaan yang diamalkan kerajaan perpaduan.

Sementara itu Parti Warisan (Warisan) menyifatkan pendedahan laporan tragedi ‘Double Six’ yang mengorbankan nyawa lima menteri Kabinet Sabah 47 tahun lalu adalah satu langkah yang baik.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah sesuatu yang dialu-alukan oleh ramai rakyat Sabah setelah sekian lama menunggu laporan mengenai nahas udara itu.

Beliau percaya, pendedahan itu akan menamatkan segala persoalan dan spekulasi mengenai kemalangan yang menyebabkan kematian 11 orang termasuk Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.

Katanya, tragedi itu masih terpahat dalam ingatan ramai rakyat Sabah yang sejak itu tertanya-tanya punca kejadian kemalangan.

“Persoalan dan spekulasi biasanya timbul setiap tahun apabila upacara memperingati mereka yang terkorban diadakan di tapak kejadian di Sembulan, Kota Kinabalu Sabah.

“Warisan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ dan sekali gus mengatasi kebimbangan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri mengumumkan laporan akhir siasatan kemalangan dalam tragedi ‘Double Six’ akan dihebahkan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan pada minggu depan.

Menurut beliau, jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan tuntutan dibuat keluarga dan waris yang mahu maklumat terperinci selari dengan dasar keterbukaan yang diamalkan kerajaan perpaduan.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN