RUU Ombudsman Malaysia masih tergantung - Azalina

RUU Ombudsman Malaysia masih tergantung – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia yang berfungsi mengendalikan aduan salah laku dan urus tadbir dalam perkhidmatan awam masih belum dapat dibentang sekali gus meletakkan statusnya dalam keadaan tergantung ketika ini.

Difahamkan, kerajaan masih lagi meneliti semula model dan undang-undang Ombudsman di negara-negara lain selain bercadang untuk memperuntukkan beberapa dasar baharu dalam rang undang-undang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkembangan terbaharu me­ngenai penggubalan RUU Ombudsman Malaysia akan diketa­hui pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sekiranya kerajaan bersedia membentang rang undang-un­dang itu untuk bacaan kali pertama dan kedua seterusnya diluluskan di Dewan Rakyat, ini membawa kepada satu lagi reformasi undang-undang negara, se­lepas RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang telah diluluskan baru-baru ini.

Persoalan garis masa pembentangan RUU Ombudsman Ma­laysia pula timbul selepas Kerajaan Negeri Sarawak bercadang membentang satu rang undang-undang sama, sekali gus menyaksikan Sarawak sebagai negeri pertama menguatkuasa undang-undang itu di Malaysia – jika diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kata Azalina, ketika ini, tiada garis masa yang jelas ditetapkan bagi pembentangan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, namun, maklumat lan­jut mengenai Ombudsman Ma­laysia akan diumum pada me­syuarat kedua sidang Dewan Rakyat bermula 22 Mei ini atau selewat-lewatnya pada mesyua­rat ketiga Dewan 9 Oktober depan.

Bagaimanapun, katanya, ke­ra­jaan komited untuk membawa satu lagi pembaharuan dalam sistem undang-undang dengan menubuhkan Ombudsman Malaysia seperti yang dituntut banyak pihak.

“Kerajaan sedang berusaha un­tuk memastikan (penubuhan Ombudsman Malaysia) lebih awal berbanding kemudian. Walau apa pun, sebarang maklumat lanjut berkenaan perkara ini akan diumumkan pada persidangan De­wan Rakyat atau sekurang-ku­rangnya pada Oktober 2023,” katanya ketika dihubungi.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat 7 Mac lalu, Aza­lina berkata, kerajaan akan meneliti semula model dan undang-undang Ombudsman negara lain seperti United Kingdom, New Zealand, Sweden, Australia, Hong Kong, Filipina, Thailand, Gambia dan Namibia dalam usaha menggubal RUU Ombudsman di Malaysia.

Katanya, RUU Ombudsman Malaysia dicadang untuk memperuntukkan obligasi mandatori supaya laporan tahunannya dibentang dan dibahas dalam Parlimen, diberi kuasa menyia­sat dan meneliti undang-undang institusi agensi kerajaan Malaysia khususnya berkenaan kuasa siasatan dan tindakan yang boleh diambil.

Sejak beberapa tahun ini, aktivis antirasuah termasuk Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan segera membentang RUU Ombudsman bagi membolehkan badan bebas itu menyiasat amalan salah penjawat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN