Rumah Terbuka Malaysia Madani: Kos zaman PN lagi mahal - Rafizi 

Rumah Terbuka Malaysia Madani: Kos zaman PN lagi mahal – Rafizi 

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli secara sinis mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan meminggirkan rakyat jika tidak turun ke negeri-negeri yang ditadbir pembangkang. 

Katanya, jika kerajaan mengambil langkah sebaliknya dengan turun menyantuni rakyat di tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, pembangkang pula melabel kerajaan sebagai membazir.

Sindiran Rafizi timbul ketika beliau mempertahan bahawa kos rumah terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam negeri bermula esok di Kedah, lebih murah berbanding menganjurkan jamuan aidilfitri di Putrajaya. 

Katanya, kehadiran dan tanggungan bagi menganjurkan rumah terbuka itu adalah lebih rendah iaitu hanya 10,000 kehadiran setiap satu berbanding 100,000 orang bagi rumah terbuka di Putrajaya. 

“Kalau Kerajaan Persekutuan tidak turun ke Kelantan, Terengganu dan Kedah, mereka pertikai kata kami pinggirkan rakyat negeri pembangkang. Apabila kami turun menyantuni rakyat, mereka kata kami membazir dan berkempen.

“Sebelum ini mereka kata Kerajaan Persekutuan tidak bagi peruntukan. Apabila saya jawab di Parlimen bagaimana Kelantan, Terengganu dan Kedah dapat keutamaan dan peruntukan yang lebih banyak, mereka kata itu belum cukup sebab Sabah Sarawak dapat lebih banyak. 

“Siri pertikaian Perikatan Nasional (PN) ini tidak akan habis. Ini asam garam politik. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masing-masing perlu tumpu buat kerja,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, kata Rafizi, Putrajaya hanya menanggung belanja sepenuhnya bagi jamuan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang ditadbir Pas.  

Sementara itu, rumah terbuka di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dikendali dan dibayar oleh kerajaan negeri masing-masing.

“Rumah terbuka di Putrajaya sebelum ini yang dianjur oleh kerajaan yang dianggotai PN sebenarnya lebih mahal,” katanya. 

Sebelum ini, orang ramai dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama  Perdana Menteri bermula di Kedah esok di Hotel Raia, mulai 10 pagi hingga 2 petang, sebelum ke lima negeri lain. 

Bagaimanapun, pembangkang menganggapnya sebagai bermotif politik, ‘melampau’ serta mencabar maruah kerajaan terbabit, malah tidak menyumbang kepada pembinaan hubungan yang baik di antara kerajaan pusat dan negeri.

Ahad lalu pula, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata, majlis rumah terbuka itu sebagai kempen pilihan raya tidak wajar diadakan dan bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya.

Anjuran rumah terbuka itu ketika keenam-enam negeri terbabit dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hujung Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya