PETALING JAYA: Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam buah negeri didakwa melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri-negeri dari segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, adalah lebih manis dan sopan sekiranya Putrajaya mengekalkan amalan pembahagian tradisi dengan majlis masing-masing pihak kekal sebagai acara sambutan terbesar dan utama di peringkat masing-masing sebagai tanda hormat terhadap wibawa dan bidang kuasa itu.
“Tindakan melangkah sempadan hormat dan adab antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini, jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.
“Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah Persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau merujuk keputusan kerajaan Pusat mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bergilir-gilir di enam negeri di Semenanjung Malaysia bermula pada 29 April di Kedah dan dijadual berakhir 14 Mei di Selangor.
Selain itu, majlis sama turut dijadual berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).
Menurut beliau, majlis itu turut mencemarkan hari kebesaran agama apabila mempunyai motif politik demi meraih sokongan menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Takiyuddin berkata, retorik basi terhadap Pas dan PN sebagai parti menunggang agama untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada kerajaan Pusat sendiri yang ‘menculik’ majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasa tersendiri.
Selain terkejut dan ralat, katanya, PN menyifatkan keputusan itu jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat mencolok mata selain tidak wajar dipertahankan.
Menurut Takiyuddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini sering melaung-laungkan langkah utama diambil oleh kerajaan pimpinannya ialah menambah baik tata kelola kerajaan kerana kononnya sejumlah besar dana kerajaan hilang susulan kelemahan pengurusan dan ketirisan yang menyebabkan hutang menjadi lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi.
Tambah beliau, PN juga bimbang kemungkinan berlakunya penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan dalam penganjuran majlis-majlis sambutan ini kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi.
Justeru itu ujarnya, kerajaan Pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diuar-uarkan selama ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata. – UTUSAN










