Rumah Terbuka Madani dikhuatiri langgar kod etika, salah guna dana awam

Rumah Terbuka Madani dikhuatiri langgar kod etika, salah guna dana awam

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam buah negeri dikhuatiri melanggar kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam. 

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, sememangnya ada peruntukan yang disediakan kerajaan untuk Perdana Menteri mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya. 

Namun, katanya, ia diperuntukkan di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya. 

“Tetapi mengadakan rumah terbuka raya semacam road show untuk Perdana Menteri dari sebuah negeri ke sebuah negeri hingga enam negeri adalah fenomena baharu. Ini yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam. 

“Mungkin jumlah wang kerajaan yang digunakan untuk perbelanjaan mengadakan majlis rasmi rumah terbuka hari raya peringkat nasional dan negeri menelan belanja tidak sampai juta-juta ringgit, tetapi perlu diingat setiap seringgit pun duit kerajaan adalah duit awam. Bermakna duit rakyat yang perlu dibelanja secara berhemah dan tidak melanggar etika moral dan undang-undang. 

“Contohnya, berapalah sangat duit Kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India, Indira Ghandi berkempen pilihan raya. Bukan kuantum wang yang digunakan itu besar atau kecil, yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Hassan, tidak salah Perdana Menteri mengadakan rumah terbuka hari raya di enam buah negeri jika beliau menggunakan wang parti sendiri iaitu wang PKR, wang Pakatan Harapan (PH) atau wang peribadi Perdana Menteri sendiri.

Namun, katanya, ia menjadi salah jika Perdana Menteri menggunakan wang Kerajaan Pusat ataupun Menteri-Menteri Besar dalam kalangan kerajaan Negeri pimpinan PH menggunakan wang kerajaan negeri atau wang kerajaan tempatan. 

Ujarnya, ini kerana ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuk jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut. 

“Sebelum terlambat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seeloknya mengumumkan bahawa wang kerajaan tidak akan digunakan untuk membiayai road show rumah terbuka hari raya itu. 

“Perdana Menteri kena umumkan bahawa PKR, PH serta Perdana Menteri secara peribadi akan menggunakan wang sendiri,” katanya. 

Pada masa sama, ujarnya, 84 ahli-ahli parlimen PH dan ratusan ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN PH) di seluruh negara juga perlu dikerah supaya tampil ke hadapan membantu Perdana Menteri untuk menampung kos mengadakan rumah-rumah terbuka raya itu. 

“Sebabnya mudah. Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri perlu berjimat. Seperti Perdana Menteri sebut di dalam Parlimen bahawa hutang negara sekarang sudah mencecah 1.5 trillion ringgit iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Selain itu kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion,” ujarnya. 

Jelas beliau, pengumuman pembiayaan rumah terbuka hari raya itu perlu dilakukan supaya ia tidak merosakkan imej Anwar kerana dalam masa lima bulan sahaja beliau sudah memberikan beberapa contoh yang baik iaitu kepimpinan melalui teladan. 

“Misalnya, Perdana Menteri tidak mengambil gaji dan elaunnya sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan. Inilah buat kali pertama dalam sejarah Malaysia bahawa Perdana Menterinya membuat kerja dan memikul tanggungjawab secara pro bono, iaitu tanpa bayaran. 

“Contoh kedua,Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa menteri-menteri Kabinet juga mengalami pemotongan gaji dan elaun sebanyak 20 peratus. Ini semua langkah terpuji. Ia bukan retorik. 

“Pengorbanan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Anwar dan menteri-menteri dalam Kabinetnya adalah perkara yang nyata,” katanya. 

Hassan menambah, beliau sebagai ahli parlimen penyokong kerajaan bagaimanapun cuba diri sendiri supaya dapat yakin dan percaya bahawa program rumah terbuka ‘road show; di enam negeri itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi. 

“Tetapi saya tidak boleh menipu diri saya sendiri. Saya juga percaya tidak ada siapa yang percaya bahawa rumah-rumah terbuka raya di enam buah negeri khusus terpilih itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya negeri akan datang.

“Oleh itu, buatlah rumah-rumah terbuka raya di mana-mana. Raya pun sebulan. Tidak jadi masalah. Bukan satu isu. Tetapi tolonglah jangan gunakan wang awam atau wang kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya