RTK: Pesara didakwa perdaya lelaki sehingga kerugian RM63,000

RTK: Pesara didakwa perdaya lelaki sehingga kerugian RM63,000

MOHD. Logan Abdullah (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Seremban semalam atas tuduhan memperdaya seorang lelaki bagi urusan mendapatkan pekerja asing melalui program RTK pada 2021. – FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pesara swasta didakwa di Mahkamah Majistret Seremban semalam atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki bagi urusan mendapatkan pekerja asing melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) dengan kerugian RM63,000, pada 2021.

Tertuduh, Mohd. Logan Ab­dullah, 68, bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan seorang lelaki berusia 50 tahun dengan menjadi ejen mendaftarkan warga asing di bawah program RTK dan sengaja mendorong lelaki itu untuk membuat bayaran berjumlah RM63,000 bagi urusan tersebut.

Lelaki berkenaan tidak akan menggunakan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di Green Street Homes, Seremban 2, di sini pada Mac sehingga 25 September 2021.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh.

Peguam Jayaprakash Rao yang mewakili tertuduh merayu mahkamah supaya mene­tapkan wang jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta tiga anak selain mempunyai masalah jantung dan kini sedang dirawat di Ins­titut Jantung Negara (IJN).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,000.

Dalam pada itu, di kamar Mah­kamah Majistret berasi­ngan, tertuduh sama turut di­dakwa atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki da­lam urusan mendapatkan pin­jaman peribadi daripada bank dan berkaitan mendapatkan pinjaman kereta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN