Roti john RM5 pilihan pelanggan bazar Ramadan Peringgit - Utusan Malaysia

Roti john RM5 pilihan pelanggan bazar Ramadan Peringgit

MUHAMMAD Tarmizi Mohd. Nasir sedang menyediakan roti john di gerainya di Bazar Ramadan Peringgit, Bukit Peringgit, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang peniaga bazar Ramadan Peringgit di Bukit Pe­ringgit di sini menjual roti john pada harga RM5 meskipun ditekan kenaikan harga bahan mentah.

Bagi Muhammad Tarmizi Mohd. Nasir, 40, meletakkan tanda harga yang murah sudah menjadi tradisi dalam dirinya sejak mula berniaga secara sambilan hampir 20 tahun lalu.

Katanya, roti john adalah juadah yang sinonim dengan masyarakat setiap kali Ramadan dan menjadi antara menu dicari untuk berbuka puasa.

“Dahulu saya jual roti john pada harga RM2.50 kemudian dinaikkan RM3. Ia kekal berbelas tahun sebelum terpaksa naikkan kepada RM4.

“Bagaimanapun tahun ini saya terpaksa jual pada harga RM5 kerana tidak mampu bertahan pada harga lama ekoran kenaikan harga bahan mentah seperti telur, daging, roti dan minyak masak.

“Harga RM5 ini sangat berpatutan kepada pelanggan terutama yang memiliki keluarga besar. Walaupun margin keuntungan kecil, saya berasa puas dapat bersedekah kepada pe­langgan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di bazar berkenaan mendapati, rata-rata peniaga menjual roti john pada harga RM6 hingga RM10.

Tambah Muhammad Tarmizi, kualiti roti john daging dan ayam lada hitam yang dijualnya tidak berubah seperti ketika awal dia mula berniaga.

Menurutnya, dia tetap memberikan yang terbaik kepada pelanggan seperti menggunakan daging yang berkualiti dan sebiji telur untuk satu roti.

“Harga yang murah tidak bermaksud saya berkompromi aspek kualiti dan kuantiti. Proses masakan dan penyediaan bahan tetap sama cuma yang berbeza adalah harganya yang murah. Alhamdulillah, harga ini dapat menarik ramai pelanggan ke gerai saya dan mereka berpuas hati,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN